Wednesday, June 30, 2010

POLITIK BARU?



Perkataan 'Politik Baru' ini telah lama kedengaran sejak zaman saya sebagai seorang mahasiswa dulu. Seingat saya, ianya timbul hasil dari 'ketidakpuashatian' terhadap perangai dan kerenah pelaku-pelaku dunia politik yang kerap kali kelihatannya menjadikan bidang politik sebagai mata pencarian dan punca rezeki ataupun 'Political Businessman'. Begitu juga, harapan politik baru ini berputik apabila ahli politik dilihat cuma bekerja apabila 'Big Boss' turun padang atau 'itu hal sudah keluar tv'... barulah nampak kelibat 'bush jacket' YB.

Saya agak kurang mengikuti secara rapat perkembangan politik di Selangor, sekadar membaca sepintas lalu di akhbar harian. Namun perkataan tersebut tiba-tiba disebut oleh orang kuat sebuah parti politik dan ianya menarik minat saya untuk mengetahui 'politik baru' apakah yang dimaksudkan oleh beliau. Beliau berkata partinya mengamalkan dasar politik baru, tidak seperti amalan politik yang diamalkan oleh parti politik seterunya. Hanya sekadar retorik bagi menjawab soalan wartawan atau ianya adalah dasar yang telah dibincangkan oleh partinya... wallahualam kerana keesokan harinya, saya tidak terbaca apa pun tentang politik baru seperti yang dikatakan oleh beliau disokong oleh mana-mana kawan beliau di dalam parti. Ahli politik yang saya kenali kebanyakannya gemar 'panjang lidah dari bibir'... main sebut saja bagi menyedapkan butiran tuturkata.

Saya juga sebenarnya masih agak kabur tentang politik baru... mungkin kerana masih tidak cukup membaca dan bermuzakarah dengan rakan-rakan yang lebih 'otai' dalam sains politik. Bagi saya, jika 'agama politik baru' ini dibawa oleh sesiapa jua yang berkepentingan di dalam arena politik negara, saya yakin kalaupun tidak amat yakin, pasti mengikut acuan kepentingan masa hadapan parti politik beliau... 'demi memegang kuasa dan mendapatkan pengaruh'. Kalau mereka kata demi masa hadapan rakyat Malaysia... saya katakan, jual semua harta kekayaan beliau dan berikan semua hasil jualan tu kepada semua rakyat Malaysia yang hidup melarat. Tunjukkanlah keikhlasan sehingga beliau tiada walau sebutir pun harta berharga... berdirilah di atas pentas tanpa sebarang gelaran atau pangkat dan laungkanlah... 'saya sanggup berkorban demi politik baru negara yang bakal menjanjikan kesejahteraan kepada semua rakyat'.

Apa yang saya amati, sekiranya kita tidak ikhlas terhadap diri sendiri atau jujur terhadap tujuan hidup di dunia ni... apa saja kata-kata hanyalah sekadar retorik dan lakonan. Laungan meminta politik baru disuburkan di Malaysia haruslah bermula dari diri sendiri, keluarga sendiri dan parti sendiri... maksudnya, jagalah rumah sendiri dulu barulah ajar orang lain jaga rumah mereka. Politik ala 'CGI actor' ni sesungguhnya amat memualkan... rupa wajah mereka berubah mengikut 'green screen'... mereka boleh kelihatan sebagai 'apa jua watak' di depan penonton.

Saya tidak pasti samada ahli politik sekarang perasan atau tidak... mereka sebenarnya lebih banyak mengelirukan daripada 'being accommodative'. Satu suara yang sepatutnya keluar dari parti politik telah bergema-gema dengan suara hampir kesemua orang kuat politik tersebut yang tidak mahu melepaskan peluang 'melalak di copong-copong media'. Pada mereka itu adalah bukti kebebasan bersuara dalam politik baru mereka namun mereka harus tahu bahawa suara mereka sekadar menghingar-bingarkan 'sound box' rakyat Malaysia... bingit beb.

Harapnya agar laungan politik baru itu haruslah jujur dan ikhlas... rakyat sesebuah negeri itu menggambarkan pimpinan negeri. Sekiranya rakyat semakin keliru dan bercelaru fikirannya tentang halatuju negerinya... saya sedang mengelamun seketika, apa rupa agaknya 'orang di atas sana'. Mudah-mudahan Allah menyayangi kita semua agar kita tidak tersesat jalan... amin.
Read more

Wednesday, June 23, 2010

RAMAI ULAMA DIJANGKAKAN AKAN MASUK PARTI UMNO

Kecoh lagi satu Malaya bila berita ulama bersifat kontroversi seperti yang didakwa sebilangan orang, Dr. Asri dan ramai ulama lain akan masuk UMNO pada Jumaat ni. Bukan calang-calang orang yang mengumumkan berita tu... orang kuat UMNO sendiri. Baik penyokong PR mahupun BN, masing-masing dengan pantas memberikan reaksi, begitu juga tuduhan orang itu golongan kufur dan orang ini Islam sebenar kembali berkokok dan menelanjangkan imej orang Islam... bukan orang lain yang menuduh pun tapi sesama Islam... seperti biasa.

Saya ada meluangkan sedikit masa (... beberapa jam) membaca beberapa tulisan di berbagai blog dan website media 'mainstream' bagi memahami sedikit kisah 'neverending stories of Dr. Asri'. Reaksi spontan saya adalah... beliau seorang yang hebat kerana mampu menarik perhatian ramai di usia yang muda walaupun secara lahiriahnya tidak terikat dengan mana-mana parti politik. Dan dalam politik Malaysia, sesiapa sahaja yang kelihatan 'hebat media dan crowd puller' pasti akan dimanipulasikan oleh mana-mana parti politik termasuklah Juara Akademi Fantasia baru-baru ini.

Biarlah dia hendak masuk parti mana sekalipun, dah besar panjang pun Dr. Asri tu untuk buat keputusan sendiri. Ada juga di antara rakan-rakan saya 'kurang senang' jika Dr. Asri masuk UMNO... tak molek kata mereka. Begitu juga dengan beberapa tulisan yang saya baca di internet. Sehinggakan saya terfikir... akan jadi kafir ke Dr. Asri kalau dia masuk UMNO? Saya cuma tersengih bila rakan-rakan memberikan jawapan balas yang agak terbabas ke sana dan ke sini tanpa menjawab soalan ringkas saya tu. Ye la, kita ni pun bukan orang politik kan... untuk memberikan 'kemenangan mudah' kepada rakan-rakan, saya cuma akan menjawab 'ye, aku kurang faham' setiap kali mereka meninggikan suara... 'tu la, ko kena paham Mie, aku rasa ko tak paham'. Saya hormati pandangan sebilangan rakan-rakan yang adakalanya agak mendesak.

Secara peribadi saya tidak begitu peduli jika Dr. Asri hendak masuk parti mana sekalipun. Saya hanya mengenali beliau sebagai 'media figure' hasil dari berbagai pandangan agama beliau yang dikatakan kontroversi serta terkeluar sedikit dari 'mainstream' majoriti ulama yang dikatakan agak konservatif. Saya meragui majoriti ulama-ulama 'pondok' PAS boleh menerima kehadiran ulama 'moden' ini ke dalam PAS apatah lagi jika beliau diberikan jawatan di dalam PAS berdasarkan 'kepopularan media' beliau. Kerana itulah yang saya nampak, kepimpinan politik PAS pasti memanipulasikan kehadiran Dr. Asri dan memaksimakan penampilan beliau di semua pentas PAS bagi menarik lebih ramai pengikut... dan saya amat meragui sekiranya 'ulama pondok' akan memberikan '100% endorsement' kepada apa saja perkataan yang keluar dari mulut Dr. Asri yang dilabelkan sebagai 'ulama wahabbi'.

Dan bila saya baca tulisan penyokong BN, seolah-olah kehadiran Dr. Asri ke dalam UMNO umpama 'pensijilan halal'. Janganlah marah saya kawan-kawan UMNO sekalian, saya takde la maksudkan UMNO tu tak halal... sensitip. Tapi saya tidak dapat menegah akal nakal saya berfikir bila ada dakwaan mengatakan Dr. Asri masuk UMNO kerana hendak membetulkannya dari dalam... macam nak halalkan jugak la kan. Teringat juga saya bila Anwar Ibrahim juga pernah berbuat demikian bersama-sama dengan ramai lagi 'ulama' ABIM pada masa tu.

Saya kira jika niat Dr. Asri dan ramai lagi ulama lain berniat ikhlas masuk politik... saya doakan agar mereka berjaya. Saya rasa kurang adil jika kita 'membuat keputusan' untuk mereka sebab kita sendiri tak tau untung nasib sesudah mati nanti. Jadi, tak payahlah kita beremosi sangat bagi pendapat seolah-olah kita tahu masa depan walhal amal ibadat kita takat sejengkal dua... percaya la, mereka tu semua dah besar panjang. Sedangkan Dr. Asri belum lagi masuk mana-mana parti politik, masing-masing telah 'menilai dan mendesak' tindakan Dr. Asri agar mengikut 'piawaian ISO' fahaman politik masing-masing... saya tidak dapat bayangkan jika Dr. Asri kelak masuk mana-mana parti tersebut dan sesungguhnya saya bersimpati dengan beliau kelak. Mungkin beliau tidak dapat bercakap sebebas sekarang ini kerana kita semua maklum mereka kelak perlu mendapatkan 'endorsement' pemimpin atasan sebelum membuat sebarang kenyataan.

Teringat pula saya kata-kata seorang rakan peminat sufism dari Indonesia... 'everybody is growing old but not everyone is growing up'. Dia juga berkata... 'Berdoa dan berharap hanya kepada Allah. Amatilah tindakan kita kerana seringkali kita bergantung harap kepada doa kita sendiri namun bukan kepada yang Mengabulkan doa kita dan sesungguhnya Dia Maha Pencemburu'. Saya juga selalu ingatkan diri saya janganlah beremosi sangat bila memberi pendapat... 'be like a grown up people' dan yakin selalu kepada Yang Mengabulkan doa saya... amin.



Read more

Tuesday, June 22, 2010

UPSR DAN PMR DIMANSUHKAN

Ketua Pengarah Pelajaran kata pemansuhan UPSR dan PMR itu berniat positif ke arah perkembangan pendidikan negara... dan tak semena-mena saya teringat Peperiksaan Penilaian Darjah 5 dulu. Masa tu, peperiksaan tersebut amat penting kerana ianya menjadi kayu pengukur untuk masuk ke mana-mana sekolah berasrama penuh apabila naik ke Tingkatan 1. Tapi bila Ketua Pengarah keluar 'statement' macam tu... alahai, kerajaan ni nak 'test market' apa ke sebelum umum tarikh PRU 13. Atau mungkin ada 'mastermind' atau kaki propaganda sedang merangka cerita yang disusun untuk melihat reaksi rakyat Malaysia... kalau betul, ingat-ingatlah yang jadi mangsa budak-budak sekolah.

Saya kira UPSR dan PMR tu boleh dijadikan kayu pengukur sejauh mana kualiti yang diberikan oleh sekolah dan para guru. Statistik yang dikeluarkan hasil dari kedua-dua peperiksaan tersebut boleh digunakan untuk tujuan yang lebih strategik dan berfokus. Saya kira para penggubal polisi di Parlimen boleh fikirkan:
  • Kenapa para menteri dan rakyat Malaysia yang berduit lebih menghantar anak-anak mereka bersekolah di 'international school' atau mana-mana sekolah persendirian yang lain;
  • Kualiti pembelajaran yang disediakan oleh sekolah dan para guru;
  • Masalah penggunaan bahasa Inggeris dalam matapelajaran sains dan matematik;
  • Skil dan kemahiran para guru;
  • Lain-lain perkara yang lebih utama yang patut dibuat selain dari main politik!!
Saya rasa agak 'kurang selesa' juga apabila bantahan melampau dibuat terhadap usaha mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris. Saya sendiri menerima pengajaran tersebut di dalam bahasa Inggeris semasa di sekolah rendah dan menengah kerana hanya guru bukan Melayu sahaja yang banyak mengajar kedua-dua matapelajaran tersebut. Mereka tidak begitu mahir berbahasa Malaysia dan kami juga dapat menerima dengan baik. Buktinya, ramai di antara kami masuk universiti dan sebahagian besar juga jadi 'Big Boss' sekarang. Dan sebagai orang Melayu, saya masih tidak hilang jati diri. Saya kira lebih baik tidak bercakap lebar tentang hal ini kerana terlalu ramai penunjuk perasaan di luar sana.

Saya lebih gemar sekiranya kerajaan meningkat usaha agar murid-murid sekolah dapat menguasai empat bahasa utama dengan baik... Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Mandarin/Cantonese dan Tamil. Ada masalah ke? Masalahnya cuma... kita terlalu banyak sangat 'committee' dan suruhanjaya yang asyik menghabiskan duit dan masa bermesyuarat mengkajinya... namun tak pernah jadi sebab semakin banyak 'red tape' dan 'rules & regulations' yang disenaraikan agar 'impian mereka menjadi kenyataan'... mimpi je la beb. Benda tak jalan bertahun-tahun mesyuarat tapi elaun bulanan korang jalan gak.

Saya kira dah habis satu dunia dah pegawai kerajaan ni buat 'lawatan kerja sambil belajar'. Bukan sedikit juga dari mereka yang menganggotai berbagai 'committees' di seluruh dunia. Dunia berubah dengan cepat dalam berbagai perkara... dan lihat betul-betul beb. Paksi kekuatan ekonomi dan politik semakin beralih dari barat ke timur. Dunia sekarang adalah milik ASIA... milik kita. China dan India sekarang menjadi kuasa ekonomi dunia dan bukan sedikit rakyat mereka yang memiliki aset strategik di US dan Eropah. Jadi kenapa sibuk nak mansuh UPSR dan PMR... guna la Parlimen yang berharga ratusan juta tu untuk bincang bagaimana seorang murid sekolah boleh menguasai 4 bahasa utama tadi... susah sangat ke? Mungkin saya patut telefon Tony Fernandez, bos Air Asia agar bagi 'kursus' kepada penggubal polisi... bukti hidup tu.

... kalau kita nak anak kita dapat kualiti pendidikan yang baik dengan hantar mereka ke sekolah antarabangsa, anak orang lain pun nak juga. Kalau kita nak anak kita dapat masuk universiti terbaik dunia, anak orang lain pun nak juga. Percaya la ahli politik sekalian... anak orang lain juga ingin mendapat pekerjaan yang baik dan menjadi kaya demi keluarga mereka sepertimana anda menggunakan kuasa dan kedudukan menjaga masa depan keluarga anda... percaya la wahai ahli politik sekalian.
Read more

Monday, June 21, 2010

BERITA ESOK: PILIHANRAYA DATANG LAGI.

Hampir setiap hari saya diajukan soalan ni... 'Mie, bila pilihanraya'? Sejak akhir-akhir ni, asal jumpa je memang tu la soalan wajib. Diaorang tahu yang saya ni takde kena-mengena pun dengan mana-mana parti politik waima bekerja di Jabatan Perdana Menteri tapi begitulah... lalu saya luangkan sedikit masa di sini menulis perkara yang paling kurang saya minati... politik.

Dalam 2 bulan yang lalu, saya terserempak dengan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz yang biasa saya panggil Tok Aziz. Beliau pernah menjadi Pengerusi syarikat tempat saya bekerja dulu. Kebetulan kami terserempak di kedai gunting rambut yang biasa kami kunjungi di Seksyen 3, Shah Alam lalu saya juga ada ajukan soalan yang sama... 'pilihanraya bila Tok?'. Dia ketawa dan seperti biasa beliau akan menjawab secara berseloroh... 'kamu ni macam saya Perdana Menteri pulak'.

Saya juga ada ajukan soalan yang sama kepada beberapa sahabat yang aktif di dalam parti politik 'mainstream'... hampir semua kata 2011 sebab Najib dapat peratusan sokongan rakyat yang semakin meningkat sehingga 65%, saya masih tidak nampak apa signifikannya alasan itu kerana Najib hanya akan bertanding di satu Parlimen sahaja. Namun mungkin kita boleh tinggalkan seketika tentang tarikhnya kerana masa itu pasti sampai selewat-lewatnya tahun 2012.

Melalui bacaan dan perbualan dengan rakan-rakan, saya yakin PRU 13 nanti bakal menjanjikan 'pertarungan hebat' antara BN dan PR. BN sudah tentu hendak menebus balik maruahnya setelah hilang beberapa negeri semasa PRU di bawah Pak Lah dulu... kita berbicara tentang Najib sekarang ini. Seorang yang paling 'otai' dalam sejarah politik negara... sebutlah apa sahaja jawatan yang tidak pernah dipegang oleh beliau... beliau paling berpengalaman untuk menggalas tanggungjawab sebagai PM. Saya amat pasti beliau tidak mahu Malaysia bertukar kerajaan semasa pemerintahan beliau dan memang nampak beliau amat bekerja keras 'menjenamakan' dirinya sebagai seorang yang boleh diterima sebagai PM walaupun teruk 'dibelasah' dari segi moral dan akhlak oleh PR.

Sesuatu yang paling ketara tentang Najib berbanding Pak Lah dulu... suara anak-anak muda yang dahulunya hampir majoriti mengutuk kerajaan sekarang agak berkurangan walaupun sokongan orang muda belum mantap terhadapnya. Kita tidak lagi mendengar orang kata... PM tidur, maaf Pak Lah... ianya benar kerana saya melihat dengan mata kepala saya sendiri. Mungkin masa itu Pak Lah kepenatan kerana program pun agak lewat malam. Dan saya juga tidak ingin berdebat dengan sesiapa jua tentang Najib kerana saya kira begitu ramai yang agak beremosi tak bertempat.

Bagaimana dengan PR? Mereka juga amat bekerja keras bagi membuktikan mereka mampu memberi khidmat kepada rakyat walaupun begitu mentah dalam perkara urustadbir kerajaan dan undang-undang tanah negeri. Namun nampak juga yang mereka ini berusaha walaupun ada YB yang masih 'honeymoon' menang pilihanraya kerana mereka yakin sokongan rakyat dahulu adalah sebab kekuatan mereka, bukan kerana undi protes marahkan kerajaan lama.

Namun suara-suara kasar telah mula kelihatan terhadap pemain-pemain politik PR. Kalau dahulu di tandas lelaki akan penuh tulisan orang tidak puashati terhadap BN di samping tulisan budak-budak gay jual diri... sekarang tulisan maki hamun terhadap PR juga semakin banyak. Itu baru cerita di tandas, cerita di jalanan pula lebih menarik apabila bual kedai kopi bahawa kroni PR dapat projek di Selangor semakin banyak diperkatakan... benar atau tidak tapi orang dah bersuara. Dan dalam suasana politik Malaysia yang agak 'whatever news are widely published under freedom of religionless speech'... suara minoriti juga bisa memberi impak maksima terhadap politik Malaysia yang penuh dengan 'perception, prejudice and rhetoric'.

Pada saya... 'playing politics without advertising is like winking at a girl in the dark. You know what you are doing, but nobody else does'. Demikianlah politik... umpama memalu gendang, bunyinya kuat isinya angin. Asal saja bunyinya bisa menarik perhatian ramai.

Selamat memilih rakan-rakan semua... di mana jua anda berada.


Read more

Saturday, June 19, 2010

Peminta Derma Atau Peminta Sedekah

Saya yakin ramai akan bersetuju dengan saya bahawa menderma dan bersedekah adalah satu amalan mulia malah dituntut. Islam juga menuntut penganutnya agar menunaikan zakat sekiranya telah cukup syarat yang mewajibkan zakat dilakukan. Senang cerita, janganlah kita kedekut hendak memberikan sedikit dari harta yang kita ada samada secara sukarela atau mengikut hukum yang telah ditetapkan dan disepakati oleh alim ulama.

Tapi saya tidak ingin menyuruh orang memberi sedekah atau derma, saya kira itu adalah kehendak masing-masing... sendiri fikirlah. Namun saya merasa sedikit 'terganggu' dengan beberapa 'pemandangan' yang saya kira secara peribadi agak kurang bersetuju dengan kaedah yang digunakan oleh pemungut derma. Saya tidak ingin berfikiran 'menjuih bibir bercekak pinggang' atau menuduh kaedah memungut yang digunapakai oleh sebilangan 'pemungut profesional' namun mungkin ada kaedah lain yang lebih molek.

Marilah datang ke Shah Alam dan anda akan saksikan sendiri. Keluar sahaja dari bilik ATM bank, dah tercegat orang siap duduk ada kerusi meja sekali dengan satu karung yang biasa digunakan untuk letak pakaian. Pandu la kereta anda ke mana-mana stesen minyak dan anda akan disambut oleh seorang budak laki-laki atau perempuan yang memberi salam sambil minta derma amal jual kalendar atau minyak gosok. Pergi la makan di mana-mana kedai makan dan anda akan didatangi oleh orang yang siap bersalam dengan anda sambil memberitahu mereka tidak menjual barang tapi menerima sedekah ikhlas. Mungkin niat mereka baik namun pendekatan yang mereka gunakan memberikan gambaran yang salah tentang agama yang dianutinya.

Kenapa perlu guna kanak-kanak yang sepatutnya berada di sekolah keluar memungut derma dengan suara yang lemah dan tidak berdaya? Kenapa perlu pakai ketayap dan berbaju Melayu sambil duduk depan pintu bilik ATM?

Saya amat pasti mereka boleh melakukan yang lebih baik dari ini... bekerja sama seperti orang awam... seperti kita orang Islam yang lain. Jika mereka katakan itu adalah derma untuk sekolah pondok... saya yakin jika mereka ada alasan kukuh kenapa sekolah mereka harus menerima bantuan, jabatan agama negeri pasti akan memberinya. Malahan ada orang korporat yang sudi menghulurkan bantuan jika mereka yakin dengan usaha pengurusan sekolah itu.

Saya amat kasihan melihat adik-adik yang sepatutnya belajar di sekolah datang berjumpa saya sambil mengatakan mereka mengutip derma untuk anak yatim dengan muka sedih dan keadaan yang 'mereka merasa malu dan aib'. Saya yakin kita sendiri pun tak sanggup berjalan ke sana-sini menadah tangan meminta simpati, sama seperti saya tidak bersetuju papantanda diletakkan sebesar-besarnya bagi memberitahu dunia... 'RUMAH ANAK YATIM'. Niatnya nampak baik namun tidak ada sesiapa yang mahu orang melihat kekurangan diri mereka.

Tapi apa nak buatkan... kita rakyat Malaysia ni memang pemurah. Kita hulur la juga seringgit dua, derma ikhlas katanya sekadar mengurangkan rasa 'tak sedap kalau tak bagi' dalam hati. Kalau la kita semua boleh bersama-sama lakukan sesuatu... kalau la kita mahu...
Read more

Tuesday, June 8, 2010

Piala Dunia 2010


Piala Dunia 2010 datang lagi... kali ni bertempat di benua Afrika... Afrika Selatan. Benua yang penuh dengan binatang-binatang. Piala Dunia kali ini adalah yang ke-19 dan bakal berlangsung dari 11 Jun - 11 Julai 2010. Afrika Selatan telah berjaya menjadi hos pertandingan setelah mengalahkan pesaing-pesaingnya dari benua Afrika iaitu Maghribi dan Mesir. Tentu menarik Piala Dunia kali ini kerana ramai yang meramalkan England akan menang kerana pemain-pemain negara lain 'takde stars'... kata diaorang la kan. Dan lagi saya rasa, Piala Dunia kali ini, tiada satu negara pun yang layak merupakan negara pertama kali bertanding di kejohanan Piala Dunia. Walaupun Slovakia dan Serbia dilihat seperti nama baru namun Slovakia merupakan sebahagian dari Czechoslovakia dahulu manakala Serbia merupakan sebahagian dari Yugoslavia dan Serbia & Montenegro. Pada Piala Dunia 2006 yang lalu, Itali telah menang setelah mengalahkan Perancis melalui sepakan penalti.

Zaman saya sekolah dulu, Piala Dunia yang diadakan sekali dalam 4 tahun ini memang dinantikan sebab pada masa tu... hampir semua budak sekolah memang kaki bola. Masa cuti memang sah hampir takde aktiviti lain kecuali main bola dan lawan bola di mana-mana sahaja padang bola yang ada. Kebetulan masa tu bukan banyak sumber hiburan pun... kalau gameboard elektronik dulu ada la... Tetris, Sega, Pacman... haha. Tu pun main 1-2 jam... rasa boring dah. Tak kira la cuaca macam mana... lagi lebat hujan, lagi galak main bola. Kalau tak silap dulu rasanya siaran langsung hanya 'final game' je... lain-lain game semuanya ulangan... harap baca suratkhabar je la esok harinya kalau nak tau perkembangan perlawanan atau siaran di radio.

Sekarang macam mana? Memang la kehangatan Piala Dunia amat terasa seperti dulu... media pun beri liputan yang berlebihan. Tapi agak sedih juga bila lihat padang bola di Shah Alam semakin berkurangan kerana 'dirampas' oleh Kerajaan Negeri atas nama pembangunan. Susah nak tengok budak-budak main bola kecuali di padang sekolah. Semua sibuk main game di Facebook... :).

Bermula 11 Jun 2010... bukan sahaja lelaki akan tidur lewat. Jika dilihat dari perkembangan semasa, rasanya kaum perempuan juga bakal 'berlabuh' di depan tv tengok bola. Rasanya untuk tempoh sebulan ni, jangan la syarikat-syarikat 'straight' sangat kat kakitangan yang nampak menganntuk atau terlewat sikit datang pejabat atau kilang... faham-faham sudahlah kan. Siapa yang dapat bos skema je tak minat bola... nasib badan la.

Kepada kawan-kawan semua... selamat ber'jamboleya' tengok bola. Pilihan pasukan saya... selain England... rasa-rasanya Jerman, Brazil, Perancis dan mungkin juga Argentina boleh buat kejutan kali ini... mungkin la.

Di mana Malaysia dalam Piala Dunia 2010 kali ni... saksikan beliau yang bakal merupakan orang paling berkuasa di tengah padang dengan hanya meniup wisel. Beliau adalah... pengadil bernama Subkhiddin Mohd Salleh. Jadi la... nak harap pasukan negara... harap rambut dengan dressing je la yang menang... haissssss
Read more

Monday, June 7, 2010

GULA LAGI...

Rasanya isu ni keluar tiap-tiap tahun... seingat saya sejak saya sekolah rendah lagi. Masa tu RTM siap buat iklan pasal kegiatan sorok gula. Tapi kenapa isu ni sentiasa berulang-ulang dan sentiasa dijadikan modal politik... takde benda lain ke nak dibuat modal hujah?

Bukan semua orang boleh import gula masuk ke dalam negara... kena ada AP kata orang kampung. Rasanya macam mudah je kalau kerajaan nak kawal harga gula kan sebab kuantiti gula yang diimport memang direkodkan... tapi ada masalah gak.

Jadi... nak bagi mudah, kita pengguna ni kurangkan saja penggunaan gula seharian, biar tutup semua kilang gula import.

... adakalanya benda macam ni tak perlu la media buang masa temuduga semua pakar apa ke, banyak benda lain yang boleh dibuat... hais, rugi beli paper je.
Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...