Tuesday, March 30, 2010

FROM HULU SELANGOR WITH LOVE




Belum pun sempat 24 jam berlalu setelah Ahli Parlimen Hulu Selangor meninggal dunia, Samy Vellu dah buat 'statement' mau itu G. Palanivel bertanding dalam pilihanraya kecil akan datang. Tak sempat Big Brother Najib buat announcement, Samy Vellu siang-siang sudah 'chop' itu tempat. Dia tak pernah peduli sejarah yang lalu dan tidak pernah peduli situasi politik semasa... dia nak jugak-jugak orang MIC bertanding di Parlimen Hulu Selangor.

Parlimen Hulu Selangor ada lebih kurang 63,593 orang pengundi berdaftar dengan komposisi pengundi 54% Melayu, 27% Cina, 19% India dan selebihnya bangsa lain... begitulah lebih kurang pecahan peratusan pengundi mengikut bangsa. Kalau kita komen pasal komposisi kaum ni untuk dijadikan sandaran meletakkan calon... sah-sah UMNO akan dituduh mengamalkan perkauman. Padahal tujuan utama masuk pilihanraya ialah untuk MENANG.

Saya cuma terfikir... kalau dulu orang Melayu tolak calon BN semasa pilihanraya ke-12, apakah mereka akan pangkah calon dari MIC sekiranya Samy Vellu mahu Palanivel bertanding? Bahkan belum tentu pengundi bangsa Cina akan memangkah calon BN kerana mereka sendiri terhakis kepercayaannya terhadap MCA. Di bawah Parlimen Hulu Selangor ada 3 DUN... Hulu Bernam yang dimenangi oleh UMNO dengan majoriti tiga ribu lebih... Kuala Kubu Bharu yang dimenangi oleh MCA dengan hanya majoriti 483 dan Batang Kali dimenangi oleh UMNO dengan majoriti dua ribu lebih... kalau tak silap la.

Jadi, mau tak mau... kena letak calon dari UMNO kerana sokongan dari kaum Melayu masih lagi 'boleh dipujuk' dan sokongan MCA yang macam suam-suam kuku tapi masih ada harapan. Sokongan kaum India?... saya tidak begitu pasti namun mereka kelihatannya amat menyokong PKR. Apakah Najib sanggup mengabaikan statistik ini demi menjaga hati Samy Vellu?

... apa pun bagi saya politik adalah 'the art of possible and impossible'... segalanya berkemungkinan. Dan kekuatan PR juga tidak boleh dipandang rendah kerana rakyat juga masih menaruh harapan terhadap mereka. Apatah lagi sikap petugas-petugas mereka yang boleh melakukan kerja tanpa mengharapkan balasan wang ringgit.

Pilihan sentiasa di tangan pengundi dan saya yakin pengundi sekarang ini akan mengundi dengan membuat penilaian terhadap calon yang bertanding... bukan sekadar parti yang mereka wakili. Tak percaya... lihat sahaja sokongan ramai orang Melayu terhadap Ibrahim Ali (bos PERKASA)... mereka tidak teragak-agak mengundi calon bebas sekiranya mereka tidak bersetuju dengan calon dari mana-mana parti.

Selamat mengundi kepada kawan-kawan di Hulu Selangor.
Read more

Saturday, March 27, 2010

PERIHAL GRADUAN BERKUALITI DAN PEKERJA MAHIR

1. Saya agak ragu-ragu dengan kualiti graduan yang dihasilkan oleh sebilangan besar IPTS yang tumbuh macam cendawan. Dahulu, untuk memasuki universiti, kita harus mendapatkan keputusan yang terbaik di dalam peperiksaan SPM atau STPM demi untuk bersaing mendapatkan tempat yang amat terhad di IPTA.

2. Sekarang, untuk memasuki IPTS amatlah mudah malahan setiap pelajar baru diumpan dengan komputer riba percuma sekiranya berdaftar dengan IPTS tertentu. Pinjaman dengan PTPN juga akan diuruskan oleh pengurusan IPTS termasuk mendapatkan kemudahan tempat tinggal.

3. Pihak pengurusan IPTS juga tidak pernah memberikan secara terperinci kelayakan para pensyarah yang ada kerana kualiti pensyarah akan menentukan kualiti pembelajaran dan seterusnya graduan yang akan dihasilkan. Saya juga amat meragui jika pensyarah tersebut mampu memberikan ilmu yang terkini dan terbaik.

4. Kita juga telah menghadapi masalah apabila kebanyakan pelajar-pelajar terbaik rakyat Malaysia lebih berminat bekerja di luar negara kerana tertarik dengan gaji yang ditawarkan. Selain dari tawaran gaji, syarikat di Malaysia juga lebih berminat membuat keuntungan yang berlipat-ganda dengan mengupah pekerja-pekerja yang sekadar... 'boleh bekerja' dan bukan membangunkan ekonomi untuk jangkamasa yang panjang.

5. Dan apakah rating kebanyakan IPTA kita sekarang? Khabar angin banyak kedengaran mengatakan universiti di Malaysia sekarang sekadar boleh menghasilkan graduan yang 'bertaraf pekerja'. Apakah kita berupaya melihat munculnya seorang graduan tempatan yang mampu menjadi pemimpin organisasi di masa depan?

6. Perkara ini akan menjarakkan lagi jurang kekayaan di masa akan datang apabila hanya segelintir masyarakat mempunyai kemahiran dan pengetahuan tinggi yang akan memonopoli kuasa ekonomi manakala sebahagian besar masyarakat akan kekal sebagai kelas pekerja yang akan sentiasa bergantung harap dan rezeki (... satu bentuk penghambaan moden?).

(p/s: tulisan berbentuk 'point' sebab ada masa amat terhad untuk menulis)
Read more

Sunday, March 21, 2010

DEY... CAKAP BETUL-BETUL LA


'PILIHANRAYA JIKA LOMPAT'... tu la kata Mr. Karpal Singh hari ni dalam paper dan ditujukan khas kepada semua YB-YB lompat parti. Boleh la dipertimbangkan cadangan Karpal ni dari semua segi tapi kan... apehal baru sekarang nak cakap. Tahun lepas semasa Brother Anwar dok gegar satu negara kata YB-YB Barisan Nasional (BN) nak melompat masuk Pakatan Rakyat (PR)... takde la pulak Mr. Karpal nasihat macam ni... hais.

Setiausaha Publisiti DAP, Theresa Kok pulak kata... 'ramai katak politik yang tidak mengenang budi terhadap parti lama mereka selepas bertindak lompat parti. Mereka yang melompat parti sudah pasti akan tercatat dalam sejarah dan percaya hayat politik individu seperti itu tidak lama'. Akak ni tujukan kata-kata dekat Brother Anwar kot... dulu Anwar BN, sekarang PR. Tapi kalau Theresa boleh 'predict' hayat politik orang lompat parti takkan lama... ape ke hal nya dia sokong Brother Anwar.

Tok Guru Nik Aziz pun menyelar sesetengah pemimpin politik yang mendedahkan keburukan pemimpin lain di khalayak umum apabila bertindak keluar parti. Bunyi macam marah anak sindir menantu pun ada. Takpe tok... percaya la PAS telah ada dalam kelasnya yang tersendiri walaupun tanpa parti-parti yang lain.

Apabila Ahli Parlimen Bayan Baru dedahkan dalam parlimen nama-nama YB BN yang nak lompat parti dulu... melompat masing-masing menafikannya. Sampai YDP Agong dan Ketua Angkatan Tentera pun dia dakwa 'terbabit'... suka-suka dia je main dakwa... hek eleh.

Kadang-kadang gelihati pun ada tengok gelagat sebilangan ahli politik... macam pelakon Bollywood. Aksi-aksinya mengalahkan perkara yang sebenarnya berlaku... belum sampai ke destinasi, bunyi ekzos dari jauh dah sampai dulu... pom pom pom kuat bunyinya macam dram tapi dalamnya angin je. Come on la... buat je la kerja masing-masing, takyah la kacau orang lain. Tak payah la heret rakyat dengan permainan politik... esok bila pilihanraya umum datang lagi, tau la kita jalankan tanggungjawab masing-masing, bukan bodoh sangat pun kita ni nak menilai pencapaian kerja YB-YB nih. So buat masa ni sampai ke tarikh tersebut... buat la kerja untuk rakyat yang mengundi anda.

... buat habis duit je beli paper... balik-balik cerita sama yang 'di recycle'... haissss hangin nih.
Read more

Saturday, March 20, 2010

LOMPAT PARTI

Ramai juga kawan-kawan yang bertanya kepada saya tentang tindakan sebahagian ahli politik yang 'melompat parti' samada ke parti lawan atau parti bebas (saya tidak pasti samada konsep parti bebas sesuai dalam politik). Jawapan saya agak ringkas... 'tidak bersetuju'. Apabila kita telah memulakan sesuatu perjalanan secara berkumpulan... eloklah sampai ke destinasi bersama-sama juga, walaubagaimana susah sekalipun liku-liku perjalanan tersebut apatah lagi bagi sebuah pakatan yang baru setahun jagung.

Memang benar kita boleh menghuraikan berbagai alasan dan dakwaan bagi menghalalkan tindakan namun saya tetap tidak bersetuju. Ditambah lagi dengan 'membuka pekung' atas nama kebenaran dan keadilan di dalam Parlimen yang sepatutnya membincangkan kepentingan rakyat seperti kita. Memang cerita yang bersifat 'mengata' bisa menarik perhatian ramai namun bagi saya... ianya agak memualkan.

Saya sangkakan setelah YDP Agong menegur semua Ahli Parlimen... perbahasan parlimen kali ini lebih berfokus dan 'people oriented'... sekali lagi ianya amat menghampakan. Perbahasan ala-ala cerita kedai kopi masih lagi berkumandang di dewan parlimen yang mulia. Sampai bila agaknya fenomena begini akan berakhir... itu belum lagi gelagat 'perbarisan keluar dewan' semasa dewan parlimen sedang bersidang yang mana ianya berlaku hampir setiap kali parlimen bersidang... amat memualkan. Cukuplah dengan cara perbahasan ahli parlimen yang kadang-kadang membuatkan kita rakyat Malaysia malu apabila kawan-kawan dari luar negara bertanya apakah kelayakan akademi ahli parlimen Malaysia... jangan la ditambah lagi dengan berbagai drama.

Agaknya bila la saya boleh mendengar parlimen membincangkan...

HOSPITAL DAN KLINIK AWAM YANG BERTARAF KELAS SATU

... apakah kita sanggup melihat rakyat Malaysia jatuh miskin atau dibiarkan mati perlahan-lahan semata-mata berkehendakkan rawatan perubatan yang berkualiti tetapi murah. Mustahil sangat ke untuk menyediakan perkhidmatan sedemikian? Bukankah mereka ahli politik Islam selalu mengatakan mereka memperjuangkan agama dan bangsa? Dan adakah Islam tidak mengajar bahawa menjaga kemakmuran dan keadaan umatnya adalah suatu perbuatan yang dituntut? Saya agak tersinggung apabila membaca ada rakyat yang mati begitu sahaja kerana tidak mampu mendapatkan rawatan perubatan yang baik. Tak perlulah cari salah sesiapa... usahakan la sesuatu melalui parlimen.

PEMBELAJARAN PRA-SEKOLAH PERCUMA

... bayangkan satu keluarga terpaksa membayar hampir RM400 sebulan untuk seorang anak bagi mendapatkan pembelajaran di taska. Dan bagi menampung perbelanjaan tersebut, si keluarga terpaksa bekerja bagai nak rak tanpa mengira masa dan waktu hingga terpaksa mengupah orang menjaga anak mereka semasa mereka sedang bekerja... dan upah menjaga anak kecil mereka juga boleh menjangkau RM400 sebulan... duit lagi tu. Dan jika banyak sangat upah yang mereka perolehi sehingga melebihi paras pendapatan bercukai... kena bayar cukai pendapatan pulak. Amat tertekan sungguh hidup berkeluarga di Malaysia... dan mereka juga disalahkan apabila masalah sosial anak-anak muda semakin berleluasa.

HARGA BARANG MAKANAN MURAH

... dah jadi macam tebiat pulak, tiap-tiap kali kerajaan umum bonus kepada kakitangan kerajaan, harga barang makanan mesti naik. Kalau harga tak naik, kuantiti makanan dikurangkan. Bayangkan dulu teh tarik jual dalam gelas besar, bila harga naik... saiz gelas dah jadi macam cawan walaupun harganya masih sama. Sudah la isu sumber makanan halal masih tak selesai... harga makanan dah jadi makin mahal setiap 6 bulan. Satu mangkuk bubur pun dah RM3.50 sekarang nih. Esok-esok kalau orang dah tak mampu beli makanan berkhasiat sebab terlalu mahal... apa jadi pada anak-anak yang memerlukan tubuh badan yang sihat dan otak yang cerdas? Makan maggi je la tiap-tiap malam...

PERKHIDMATAN AWAM YANG EFISIEN DAN MURAH

... tak tau bila Malaysia mampu mencapainya dan saya pun bukanlah pakar sangat dalam hal ni sebab jarang sangat guna perkhidmatan awam kecuali kapalterbang (... eksyen). Tapi kesian la kat kawan-kawan kita yang bangun awal pagi berebut-rebut naik komuter dan balik lewat malam juga dalam keadaan berebut-rebut dengan 'pendatang asing'. Bukan semua mampu pakai kereta... nak naik motor pun ramai yang tak berani. Agaknya kalau semua kenderaan awam ada pengiring polis trafik... bangkrap tokeh kereta.

Bilalah agaknya akan muncul insan yang boleh mengingatkan kita kepada Rasulullah... insan yang boleh kita kenali dari perbuatannya yang mulia. Tunggu punya tunggu... yang muncul 'insan' yang ikut sunnah (... katanya) kahwin dengan budak umur 10 dan 11 tahun... amat memualkan. (... lama-lama boleh muntah jugak aku nih, haisssss!!!!)
Read more

Thursday, March 11, 2010

HALAL ATAU TIDAK HALAL?

















Agak-agak pening tak kepala kita bila pergi supermarket nak beli barang makanan... setiap pek makanan tersebut ada logo halal yang berlainan dari berbagai authoriti yang mendakwa boleh mengesahkan persijilan halal. Dan di setiap bahagian rak barangan makanan tersebut tidak ada walau satu notis pun samada dari JAKIM atau JAIS yang memaklumkan logo halal yang sah digunapakai di Malaysia.

Di sebalik penguatkuasaan logo halal ni... saya lebih tertarik dengan kempen pengurangan penggunaan barangan plastik oleh Kerajaan Selangor. Di Selangor telah diisytiharkan 'No Plastic Day' untuk setiap hari Sabtu. Pembeli dikenakan bayaran 'khifarah' sebanyak RM0.20 setiap plastik beg yang digunakan pada hari Sabtu jika membeli barang.

Tapi apa JAIS dah buat? Apa usaha Kerajaan Negeri yang turut didokongi oleh PAS menyokong umat Islam membeli makanan yang halal? Begitu juga dengan Kerajaan Persekutuan... adakah sekadar memadai buat tangkapan, keluar dalam media tapi dalam masa yang sama terlalu banyak logo halal yang digunakan di pek-pek makanan.

Rasa-rasanya kalau baca semua blog yang ada... berjela-jela syor yang diberikan oleh rakyat Malaysia tentang penguatkuasaan logo halal ni. Masalah dok lagu tu jugak. Pada ustaz-ustaz yang dok ceramah kat orang pasal janji-janji syurga tu... tangguhkan la kejap ceramah tu (... maklum la dapat duit kan). Gemblengkan la idea dan tenaga bagi memastikan orang yang mereka ceramahkan tu makan makanan yang halal... asyik dok ceramah air liur je suruh orang beringat kalau tak dibantu secara gerakan fizikal... tak ke mana gak ceramah tu kesannya.

... ha apa lagi ustaz, singsing la lengan baju tu turun ke bawah. Asyik dengan henfon je confirm ceramah sana-sini... umat makin teruk gak. Turun ye....
Read more

Apa Sudah Jadi?

Seorang demi seorang wakil rakyat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar dari parti dan yang terbaru saudara Zulkifli Nordin (Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru)... apa sudah jadi ni? Setelah Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan beberapa buah negeri pada pilihanraya yang lalu, rakyat biasa seperti saya ini amat mengharap suatu 'penampilan istimewa' yang mampu mengekalkan perhatian pengundi terhadap kebolehan sebenar PR, lebih-lebih lagi PKR di Selangor. Sayang sungguh rasanya, setelah bertahun-tahun mereka bersama berjuang dari zaman reformasi kini seorang demi seorang meninggalkan parti tersebut.

Banyak perkara yang dibangkitkan oleh YB-YB yang keluar parti tersebut dan saya tidak terbaca sebarang kenyataan yang meyakinkan yang menjawab semua persoalan yang ditimbulkan. Sebaliknya saya lebih banyak terbaca jawapan balas seperti 'PKR bukan lubuk harta', 'ahli-ahli yang bermasalah', 'firaun kecil firaun besar' dan berbagai lagi kenyataan yang bersifat 'cerita tak sudah'... persoalan yang menimbulkan lebih banyak persoalan. Saya yakin bukan hal-hal begini yang diharapkan oleh pengundi dari ahli-ahli politik yang mendakwa mereka memperjuangkan bangsa dan negara.

Malahan, bagi rakyat biasa seperti kita ni, hendak menegur atau memberi sedikit kritikan terhadap PKR juga umpama 'cakap siang pandang-pandang'... takut dituduh pulak ahli parti lawan. Takkan la bercakap sedikit pun tak boleh sheikh... sensitif sungguh bak ada taman dalam hati... kuntum jiwanya.

Ramai juga rakan-rakan yang mengadu kepada saya bahawa mereka marah dengan kerajaan PR sekarang. Dan ramai juga yang mengadu bagaimana mereka merasa 'kecil hati dan terhina' setiap kali menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor. Saya tidak tahu sejauh mana kebenarannya sebab bagi saya adakalanya dalam sesuatu mesyuarat pasti ada yang 'sentap'. Cuma mereka 'amat marah' kerana dilayan umpama 'marah anak sindir menantu'. Dan saya agak sedih juga apabila mendengar cerita tentang beberapa rakan yang pernah terbabit dengan reformasi dahulu hidup dalam keadaan yang agak susah sekarang ini... takde kerja tetap dan buat banyak kerja sambilan. Takde seorang pun YB-YB PKR sekarang yang bertanya khabar berita mereka... cukup ke makan pakai. Nak dapat kerja dengan kerajaan jangan haraplah sebab dengar khabarnya nama mereka telah 'di blacklist' terutamanya mereka yang pernah ditahan reman sebab menghadiri perhimpunan haram... dakwa mereka la kan.

Saya hanya mampu mendengar keluhan mereka kerana 'Aku Bukanlah Superman'. Kalau setakat nak belanja minum teh bolehlah sheikh... boleh la kalau nak order roti canai sekali. Doa saya mudah-mudahan Allah gantikan rezeki rakan-rakan semua dengan sesuatu yang lebih baik, dikurniakan kesihatan yang sempurna dan dikelilingi oleh manusia yang boleh dipanggil sebagai SAHABAT.

... singkat sungguh sisa hidup ni untuk dihabiskan dengan bertelagah kerana sudahnya ke kubur jugak kita.
Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...