Tuesday, January 26, 2010

Mari Berubah: Pentingnya Komunikasi Yang Berkesan

Semasa sekolah dulu, saya tidak begitu menggemari 'public speaking'... rendah diri ada, gugup apatah lagi. Tiap-tiap kali bila tiba waktu untuk subjek Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris... saya memang tak senang duduk kerana amat bimbang cikgu akan memanggil ke hadapan bilik darjah untuk membaca karangan. Punyalah tertutup fikiran masa tu, asyik fikir cikgu nak buat naya kita je suruh pergi depan dan kena gelak dengan kawan-kawan bila tengok kita terketar-ketar pegang buku. Sekarang baru la tau betapa murninya hasrat para guru yang ingin kita berjaya di masa hadapan.

Setelah saya melangkah ke alam pekerjaan, barulah saya menyedari betapa pentingnya penggunaan bahasa yang betul dan skil berkomunikasi... waktu yang terlambat untuk saya sesali. Bekas bos saya pernah berkata... 'memang you ada degree dan ada ilmu, yang membezakan you dengan yang lain adalah cara you berkomunikasi dan skil perhubungan awam you'. Dan sekarang saya katakan bahawa apa yang beliau katakan berbelas tahun yang lalu amatlah betul.

Tidak kira apa jawatan yang kita sandang sekali pun... komunikasi yang berkesan amatlah penting. Memang benar pendedahan di universiti memberikan permulaan yang baik namun dari pemerhatian saya, kebanyakan pelajar hanya berkomunikasi sesama rakan 'satu kepala' mereka. Itupun bahasa yang digunakan adalah bahasa rojak... ditambah pula dengan 'bahasa sms' yang memang merosakkan keindahan bahasa semata-mata hendak jimat duit prepaid. Saya telah berjumpa dengan ramai pelajar universiti yang menjalankan latihan praktikal dan saya agak 'tersinggung' melihat cara mereka berkomunikasi di dalam 'business world'. Dan berkali-kali juga saya mengingatkan mereka agar 'bertutur seperti orang dewasa'.

Lihatlah cara orang berkomunikasi di TV... dengarlah cara orang berkomunikasi di radio. Rajin-rajinlah menonton rancangan TV berbentuk perniagaan, dokumentari atau filem-filem yang 'jenis banyak bercakap'... saya pasti adik-adik semua boleh belajar bentuk komunikasi yang berkesan. Buku-buku tentang cara berkomunikasi juga amat banyak di toko-toko buku... beli dan bacalah.

Dunia tanpa sempadan yang semakin rancak sekarang ini 'telah memaksa' semua eksekutif syarikat agar berubah. Akan tiba masanya apabila polisi dan strategi syarikat menuntut kemahiran eksekutif agar boleh berada di mana sahaja dan berkomunikasi dengan sesiapa sahaja. Sebuah syarikat yang bagus akan berkembang dan sentiasa melebarkan sayap perniagaannya di mana sahaja ada peluang untuk berbuat demikian.

... siapa tahu suatu hari nanti, adik-adik juga berpeluang 'naik pangkat' dan tidak mustahil juga bakal menjadi seorang Ketua Eksekutif... takkan syarikat nak pilih orang pendiam jadi ketua syarikat kan... tutup syarikat nanti. Berlatihlah sekarang untuk bertutur dengan bahasa yang teratur dan kemas.

[Tulisan akan datang --> Marilah berubah: Postur Badan Anda Mencerminkan Diri Anda]
Read more

Saturday, January 23, 2010

Kawan-Kawan Sekalian... Mari Kita Sama-Sama Berubah

Saya kira kita telah terlalu lama mendengar berbagai kalimah dari terlalu ramai orang yang berkata... 'berubah la', 'carilah ilmu walaupun ke negeri China', 'hari esok harus lebih baik dari hari ini' dan berbagai kalimah lain. Dan hakikat sebenarnya... lebih mudah bercakap dari melakukannya. Tak percaya juga? Cuba tanya berapa ramai yang dah berapa kali berusaha untuk melakukan senaman walaupun hanya sekali seminggu... kononnya untuk menjaga kesihatan... memang sah la, insafnya hanya sehari je... hahaha.

Mari saya ceritakan secara ringkas apakah itu perubahan dan bagaimana keadaan akan 'memaksa' kepada suatu perubahan. Dahulu kita pernah dengar gagasan beberapa buah negara yang mempunyai peratusan Gross Domestic Products (GDP) atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang paling tinggi di dunia... dan negara-negara itu dikenali sebagai G7. Beberapa dekad yang lalu G7 ini terdiri dari negara-negara perindustrian Barat... negara-negara maju yang menguasai perdagangan dunia dan sekaligus menentukan kedudukan ekonomi negara-negara lain. Mereka inilah yang menentukan blok ekonomi berdasarkan kekuatan perdagangan mereka dan yang menjadikan mereka kaya adalah kekuatan ilmu teknologi mereka hinggakan mereka berupaya memenuhi keperluan ekonomi beratus-ratus negara lain. Bagaimana mereka boleh melakukannya... mereka sentiasa bagaimana pentingnya sesuatu perubahan yang perlu dilakukan di semasa ke semasa akibat dari kekuatan faktor-faktor ekonomi yang sentiasa menuntut perubahan demi memenuhi kehendak penduduk dunia yang semakin meningkat.

Dan pada 1997, Rusia telah menyertai forum G7 tersebut bagi menjadikan G7 bertukar kepada G8 bersama-sama ahli forum sediada iaitu Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Britain, Amerika dan Kanada. Forum ini bukanlah satu forum yang formal seperti Bank Dunia atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu namun mereka akan bertemu setiap tahun bagi membincangkan bermacam-macam perkara. Saya yakin kesemua pemimpin G8 ini takkan saja suka-suka berjumpa untuk minum kopi kerana keluaran ekonomi kesemua negara G8 menguasai sebanyak 60% dari ekonomi dunia walaupun penduduk mereka hanyalah mewakili 14% dari jumlah penduduk dunia. Mereka amat meneliti setiap perubahan yang berlaku dalam semua aspek kehidupan demi melindungi kepentingan ekonomi mereka. Kesemua negara G8 juga pernah merasai dengan teruk kesan kemunduran ekonomi pada tahun 1930an hingga menyebabkan mereka hampir bangkrap... dan sekarang mereka amat menghargai perubahan.

Masih tidak percaya juga? Saya telah katakan tadi negara G8 hanyalah mewakili 14% dari jumlah penduduk dunia dan hasil dari perubahan dasar yang merancakkan ekonomi dunia... mereka terpaksa mengekalkan penguasaan ekonomi dunia dan untuk itu mereka memerlukan pengguna atau lebih dikenali sebagai PENDUDUK. Jumlah penduduk menentukan kekuatan penggunaan dan mereka tahu kebanyakan pengguna barangan mereka berada di luar lingkungan G8... mereka harus mengubah pendekatan dan cuba teka... timbul la forum G20.

Negara forum G8 amat menyedari mereka harus 'menjemput' negara-negara yang mempunyai penduduk terbanyak di dunia agar menyertai forum elit mereka. Saya yakin sekiranya negara di luar G8 bergabung... kekuatan ekonomi yang berganjak ke negara-negara yang mereka gelar... 'masih membangun dan belum matang'. Pada tahun 2009, forum G8 telah dirombak dengan ahli-ahli seperti Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Korea Selatan, Turki, Britain, Amerika dan Kesatuan Eropah. Demi perubahan, gabungan G20 yang baru telah mewakili 2/3 penduduk dunia dan mereka kini menguasai 80% ekonomi dunia.

Melakukan perubahan adalah melalui anjakan ke hadapan... transformasi, inovatif dan segala-gala kalimah yang bermaksud 'maju ke hadapan'. Membuka pekung orang lain sama sekali tidak akan memajukan ekonomi. Menghabiskan masa terlalu lama mencari kelemahan dan kesalahan orang lain agar orang lain melihat kita sebagai 'penyelamat dunia'... bukanlah perubahan ke hadapan. Namun yang sedihnya itulah yang berlaku sekarang di Malaysia.

Bagaimana kita mahu berubah ke hadapan... saya kira kita semua terpaksa melakukannya bersama-sama atau suatu hari nanti kita menjadi tidak kompetitif sehingga kita 'dipaksa' hidup selamanya sebagai 'minority shareholder' yang hampir tidak mempunyai suara berpengaruh dan terpaksa mengikut telunjuk 'majority shareholder' yang menentukan 'arah mana arus sungai harus bergerak'.

... pada tahun 1976, apabila Kanada bergabung dengan 6 negara lain bagi membentuk forum G7... kita dapat saksikan ekonomi kumpulan forum ini berkembang dari tahun ke tahun. Takkan kita nak tunggu berpuluh tahun akan datang hingga Malaysia dijemput masuk G20 baru nak berubah... silap-silap masa tu, Indonesia jauh meninggalkan kita seperti Singapura meninggalkan kita.

Read more

Tuesday, January 19, 2010

Ini Tidak Adil...

Saya agak teruja sedikit membaca berita hari ini bertajuk 'Man Fails In Bid To Legalise Sodomy' (The Star) dan 'Ini Tidak Adil' (Harian Metro). Berita mahkamah ini berkenaan dengan seorang lelaki (muslim agaknya sebab nama Melayu) yang disabit 22 tuduhan liwat mempersoalkan hukuman mahkamah terhadapnya. Pesalah tersebut juga adalah seorang penghidap HIV. Beliau telah dijatuhi hukuman penjara 60 tahun dan 22 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam dan telah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan. Mangsa tertuduh pula adalah seorang remaja berusia 15 tahun dan perkara ini berlaku sekitar pertengahan tahun 2007.

Saya bukanlah seorang pengamal undang-undang di Malaysia dan tidak la begitu mahir dengan hal-hal perundangan jenayah. Namun apabila saya baca berita tentang hujah yang digunakan untuk 'melepas bebaskan' tertuduh oleh peguamnya (muslim rasanya sebab nama Melayu) di Mahkamah Rayuan... saya hanya mampu tepuk dahi. Terkedu lidah pun ada bila baca baris demi baris.

Antara hujahan yang dibuat oleh peguam tertuduh adalah seksyen undang-undang tertentu Kanun Keseksaan yang menetapkan bahawa perbuatan melakukan persetubuhan luar tabie adalah bertentang dengan perkara tertentu di dalam Perlembagaan Persekutuan. Beliau berhujah bahawa semua orang perlu dilayan secara adil dan melarang perbuatan menindas rakyat. Dia kata peuntukan jenayah liwat itu tidak adil kerana hanya lelaki yang boleh dihukum sedangkan perempuan yang memasukkan vibrator ke dalam dubur lelaki dan menikmati keseronokan seksual daripada perbuatan itu... itu bukan persetubuhan luar tabie. Jadi dia kata la peruntukan jenayah itu berat sebelah dan tidak adil terhadap lelaki.... (nama peguam ni macam nama Melayu).

Sungguh... berulang kali saya baca berita ni... berulang-ulang kali. Saya cuba memahami apakah rasionalnya peguam (macam Melayu muslim namanya) ini berhujah sedemikian. Saya nak kata dia salah... kang disamannya saya sebab menghina mahkamah tapi saya tidak dapat berhenti berfikir... apakah rasionalnya beliau berhujah sedemikian.

Saya hairan sedikit kenapa kesalahan seseorang harus diadili berdasarkan kesalahan orang lain... apakah perkara ini dibenarkan dalam hujahan di mahkamah? Seolah-olah kita kata seorang lelaki tidak salah meliwat kerana kita kata orang perempuan pun ada guna vibrator. Sedangkan seorang lelaki yang 'mengadakan persetubuhan secara sukarela kedua-dua pihak' dengan seorang remaja bawah umur boleh didakwa sebagai 'statutory rape'... apakah kita boleh kata tidak adil menjatuhkan hukuman ke atas seorang lelaki yang meliwat seorang remaja bawah umur? Sampai hakim pun kata apakah peguam hendak mengatakan bahawa hubungan homoseks di antara sesama jantina adalah sah di sisi undang-undang Malaysia.

Mungkin la agaknya peguam tu hanya jalankan tugasnya kerana memang jadi satu prinsip seorang tidak didapati bersalah sehingga dibuktikan bersalah setelah melalui segala proses perundangan. Dah memang tanggungjawab dia nak lepaskan anakguam dia... dan nasibnya tak baik sebab kalah kes.

Dan selepas ini saya akan menunggu jika ada sebarang ulasan tentang perkara ini oleh mana-mana ulama, ahli politik, rakan-rakan peguam atau sesiapa sahaja yang memperjuangkan selama ini... Islam is a way of life... kehidupan normal manusia dan berbagai lagi kalimah yang pernah dikeluarkan oleh pakar-pakar hubungan manusia.

... dan semakin bimbang rasanya apabila undang-undang yang dicipta manusia digunakan untuk menghalalkan segala usaha dan cara... asalkan ianya memenuhi kehendak diri dan kebebasan asasi manusia. Dan kita pula sedang hidup di dalam dunia ciptaan itu... subhanAllah.
Read more

Saturday, January 16, 2010

Berapa Harganya?

Baru-baru ni terbaca di akhbar kisah seorang artis bergelar diva (maaf, nama rahsia) terima hadiah harijadi berupa sebuah beg tangan berharga RM40,000 (Ringgit Malaysia: Empat Puluh Ribu Sahaja). Hadiah tersebut untuk menambah kegembiraan sahaja katanya... apatah lagi ianya adalah koleksi terhad. Saya ada juga terbaca di blog kawan-kawan yang lain tentang hal ni... ada yang tumpang gembira, ada yang macam cemburu bunyinya dan tak kurang juga terus-terang kata... 'aku tak minat artis tu'. Gelihati pun ada bila baca komen-komen ni tapi saya rasa tak payah la marah artis tu... dah laki dia kaya.

Ada yang minta juga saya komen tentang hal hadiah ni... tapi saya tak begitu berminat sebenarnya memberi komen tentang 'hal rumahtangga' orang kerana secara peribadi saya merasakan apa pun kaedah atau cara yang digunakan oleh suami-isteri ni... kalau itu menggembirakan mereka, biarkanlah. Tak payah la kita 'too judgemental' sampai tuduh membazir la, menunjuk la... sampai ketap-ketap bibir pejam-pejam mata tulis blog... haha.

Jadi biarlah saya ceritakan apa yang boleh dilakukan dengan RM40,000... berdasarkan pengalaman saya menjalankan kerja-kerja 'Corporate Social Responsibilities' selama hampir 10 tahun semasa saya bekerja makan gaji di sebuah syarikat dahulu. Dan saya harap janganlah dibandingkan apa yang akan saya ceritakan ini dengan hadiah artis tu... dia takde kena mengena dengan bahagian cerita yang selanjutnya.

RAWATAN DIALISIS

Saya pernah menjalankan projek pembangunan sebuah pusat dialisis dahulu dan ianya merupakan sebuah pusat dialisis yang pertama di Malaysia menggunakan pendekatan pencucian darah untuk pesakit buah pinggang secara tapisan pakaibuang. (single used dialyzer). Secara ringkasnya, pesakit buah pinggang mengalami masalah kerosakan buah pinggang yang tidak dapat menapis segala kotoran darah dan seterusnya boleh merosakkan sistem badan. Pesakit terpaksa mendapatkan khidmant pencucian darah di pusat dialisis dan tabung dialyzer pada mesin dialisis berfungsi sebagai 'buah pinggang mekanikal'. Dan terbukti sistem tapisan pakaibuang ini jauh bermanfaat dari tabung dialyzer yang di gunasemula berulangkali 6-12 kali kerana kadar kemampuan tapisan kotoran dalam darah akan semakin berkurangan akibat kotoran yang semakin tersumbat di dalam tapisan di samping bahan kimia yang digunakan untuk mencuci tabung dialyzer gunasemula.

Kos rawatan pencucian buahpinggang ini amat mahal sebenarnya iaitu di antara RM150-RM250 untuk sekali cucian dan pesakit harus mendapatkan rawatan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, bermakna 12 kali dalam sebulan. Katakan la saya gunakan kos sekali rawatan pada kadar RM200, bermakna dengan RM40,000 itu... seorang pesakit boleh mendapatkan rawatan dialisis sebanyak 200 kali = rawatan selama 16.6 bulan. Dan jika anda hendak tahu bagaimana reaksi seorang pesakit buahpinggang yang dapat menerima rawatan dengan kaedah antara yang terbaik di dunia melalui sistem dialyzer pakaibuang... pergilah melawat pusat dialisis berhampiran.

KEDIAMAN 'MEWAH' WARGA MISKIN

Saya telah menjelajah hampir satu Selangor dengan satu misi... mencari seberapa banyak rumah yang berkeadaan amat uzur milik warga daif miskin malahan mencari seberapa banyak warga miskin yang mempunyai tanah namun tidak mampu langsung untuk memiliki kediaman sendiri... tanpa mengira bangsa. Saya telah mengunjungi rumah yang layak dipanggil pondok atau reban ayam... rumah yang menunggu masa hendak roboh... rumah yang tiada bilik namun diduduki hampir 12 orang sekeluarga... 'rumah' yang ditampal-tampal dengan berbagai bahan di bawah jambatan malahan sebuah 'rumah' yang diduduki bersama-sama dengan kambing, ayam dan itik. Ingin sekali saya paparkan semua gambar yang saya ambil untuk tatapan semua namun saya bimbang niat baik kelak hanya mengundang aib kepada abang, kakak, pakcik dan makcik yang pernah saya kunjungi dan sekarang tinggal di rumah yang jauh lebih selesa.

Rumah-rumah buruk yang sempat saya lawati dulu telah dirobohkan dan digantikan dengan sebuah rumah 3-bilik yang jauh lebih selesa. Dengan duit RM40,000 itu, saya dapat membina 2 buah rumah untuk warga daif dengan nilai RM20,000 untuk sebuah rumah (... agaknya berapa banyak barang yang boleh diisi dalam beg tu?). Program ini masih lagi berjalan sekarang... berkat doa semua orang miskin yang menunggu peluang mereka untuk menerima bantuan sebuah rumah di masa hadapan... amen. Banyak pihak yang terlibat dalam program ini sebenarnya dan saya hanya salah seorang yang terlibat dengan sedikit peranan kecil.

... dan saya juga telah mendapat penghargaan yang berulang-ulang kali tiada tara nilainya jika nak dibandingkan dengan RM40,000 malahan jauh lebih menggembirakan hati saya hingga airmata saya kerap mengalir... pelukan mesra dari warga miskin yang terlalu gembira menerima rumah itu apabila saya mengunjungi mereka.

BANTUAN PELAJARAN

Bukan semua pelajar bernasib baik ada duit poket yang mencukupi apabila mereka pergi sekolah. Saya diberitahu oleh sebilangan guru di sekolah-sekolah yang saya kunjungi, masih ada pelajar yang minum dari air paip dan makan roti benggali bersapu mentega untuk makanan waktu rehat. Saya telah menjalankan program bantuan pelajaran kepada pelajar miskin di Selangor berbentuk bantuan kewangan sebanyak RM30 sebulan. Bayangkan dengan RM40,000 itu, saya boleh membiayai bantuan kepada hampir 1333 pelajar untuk sebulan. Atau pun jika saya hendak membiayai mereka untuk setahun dalam tahun mereka akan menghadapi peperiksaan PMR atau SPM... saya boleh membiayai bantuan untuk hampir 111 orang pelajar.

... mendapat panggilan telefon dari guru mereka yang menyatakan bahawa pelajar biayaan syarikat saya mendapat keputusan yang cemerlang untuk peperiksaan merupakan 'hati istimewa' buat saya dan rakan-rakan sekerja yang terbabit di dalam program ini. Rasa macam kitaorang pulak yang dapat 8A dalam SPM... haha.

BANTUAN MAKANAN UNTUK WARGA MISKIN

Orang tua selalu berkata... anak-anak kalau perut mereka kenyang, hati ibubapa akan selalu senang walau sesusah mana pun mereka mencari rezeki. Percayalah dalam zaman ini pun masih ada keluarga yang tidak mampu memberikan makanan lengkap atau hampir sempurna kepada anak-anak mereka lebih-lebih lagi keluarga ibu tunggal. Saya telah berjumpa, mendengar kisah malahan melihat sendiri hampir kesemua mereka mengalirkan airmata apabila menceritakan kisah kehidupan mereka kepada saya. Alhamdulillah banyak pihak sudi menghulurkan bantuan sekali-sekala malahan pusat zakat juga memberikan bantuan bulanan namun apalah daya bagi ibu tunggal yang mempunyai anak-anak yang lebih dari 4 orang. Sememangnya bantuan bulanan tersebut agak terbatas penggunaannya.

Dan kami telah menyatakan kesudian menghulurkan bantuan makanan bulanan kepada mereka. Berdasarkan kiraan dari pusat zakat yang menganggarkan keperluan makanan sekitar RM138 sebulan bagi barangan makanan ruji yang hampir lengkap... kami telah memenuhi sedikit keperluan makanan mereka berupa beras, tepung, gula, minuman dan beberapa jenis makanan lain. Berapa ramai keluarga miskin yang boleh kita bantu dengan RM40,000... 289 keluarga miskin. Jika kita ambil secara kasar sebuah keluarga ada 4 orang... bermakna 1,156 perut yang dapat dikenyangkan.

AKHIR KISAH...

Banyak lagi sebenarnya program yang boleh saya lakukan dengan RM40,000... bukan sekadar program di atas malahan program pembangunan sosial yang lain. Masih ramai memerlukan perhatian dan masih ramai lagi di luar sana yang tidak bernasib baik. Yang membuatkan kita penat apabila menjalankan program-program seperti ini bukanlah orang-orang miskin itu... tapi 'cita-cita politik' seseorang yang berkuasa selalunya akan 'mematahkan semangat' sukarelawan. Dek kerana mereka bergaduh pendapat di atas, kita yang bekerja di bawah selalunya jadi mangsa. Dan pada masa tu... RM40,000 hanyalah satu angka yang tiada nilai sama sekali.
Read more

Monday, January 11, 2010

Ada Apa Dengan Tahun 80an

Saya yakin ramai di luar sana masih merindui tahun 1980. Buktinya masih ada stesen-stesen radio yang memainkan lagu-lagu irama tahun 80an malahan banyak juga lagu-lagu yang masih dicipta menyerupai irama tahun 80an. Kebanyakan lagu-lagunya juga masih segar dan masih diminati oleh golongan anak muda yang lahir selepas tahun 80an. Mari kita lihat ada apa sebenarnya dengan tahun 80an.

Cerita TV McGyver Dan The A-Team


Kedua-dua cerita bersiri TV ni amat diminati ramai. Pendek kata orang tak keluar malam la semata-mata nak tengok rancangan tv nih. Walaupun jalan cerita dia hampir sama je setiap minggu tapi... dah itu je pun cerita yang ada. Orang masa tu tak pernah pun tanya kenapa McGyver dan ahli A-Team kalau kena tangkap je, mesti kena kurung dalam tempat yang ada je peralatan yang diaorang boleh lepaskan diri. Tiap-tiap episod pun macam tu, tapi orang tengok gak tiap-tiap minggu. Siap ada yang komplen lagi apesal rancangan tu ditamatkan.

Kereta 'K.I.T' Dalam Cerita Knight Rider

Cerita berbentuk penyiasatan ni pun lebih kurang je macam cerita di atas. Semua anak muda yang ada kereta masa tu maupun yang baru bercita-cita nak beli kereta macam KIT. Apa yang bestnya kereta tu... hehe, lampu yang bernyala macam neon kelab malam kat muncung kereta. Semua orang bukan main kagum dengan kereta tu yang boleh bercakap... terutamanya lampu kat muncung kereta tu.

Fesyen Pakaian

Rasa-rasanya dalam tahun 80an saja orang pakai jaket atau kot dengan lengannya dilipat 3 inci sebelum sampai ke siku. Tak kisah la apa jenis pun... tapi mesti lipat. Dan kalau anda sangka stail angkat koler t-shirt Polo tu stail budak-budak sekarang... anda silap besar. Itulah stail paling popular tahun 80an. Masa ni jugalah orang yang kerja pejabat swasta atau kerajaan... tali leher diaorang besar sikit je dari saiz mata piano. Paling tidak pun masa ni kalau orang tak pakai fesyen seluar ketat gila ala-ala kumpulan rock... orang akan pakai seluar besar giler ala-ala diskang kumpulan Duran-Duran.

Muzik

Lagu rap paling popular masa ni ialah dari cerita 'Fresh Prince of Bel Air' yang dilakonkon oleh Will Smith dan penyanyi rap yang dok ulang-ulang sebut 'Can't Touch This' oleh MC Hammer... tapi muncul sekejap sorang rapper mat saleh yang lirik lagu rap dia cuma 'Ice Ice Baby'... sorang mamat nama Vanila Ice. Tapi masa ni, rock tengah mengganas di Malaysia dengan kemunculan Search dan Wings tapi tenggelam timbul dengan lagu-lagu 60an yang tiba-tiba naik dan lagu pop rock jiwang... Headwind. Habis sekejap rock beb. Alat media yang paling popular masa ni... WALKMAN yang beratnya macam batu-bata.

Hantu

Ada dua jenis hantu yang orang takut akibat dari pengaruh filem... satu hantu menyeramkan dan satu hantu tak menyeramkan langsung. Zaman ni kalau tengok cerita 'Poltergeist' memang tak tidur malam dibuatnya. Seram gila masa tu... dan satu-satunya hantu yang tak menakutkan ialah hantu-hantu dalam Ghostbusters.

Pakwe Dan Makwe Impian

Budak-budak perempuan masa ni kalau nakkan pakwe... tak nak orang lain kecuali mesti nak macam budak-budak kumpulan muzik New Kids On The Block. Yang budak-budak lelaki pulak kalau nak cari makwe... mesti macam Julia Rais atau mana-mana artis Pan-Asian yang sewaktu dengannya.

Pandangan Tentang Dunia Masa Depan

Hampir semua orang percaya bahawa dunia akan datang adalah seperti dalam cerita bersiri TV... Space 1999. Tapi kebanyakan mereka hanya ingat seorang pelakon yang membawa watak Maya.

Komputer

Tak banyak komputer ada masa ni... skrin komputer dengan tulisan kaler merah dan kemudian hijau. 'Motherboard' nya pulak bagak besar almari baju. 'Mouse' takde sebab bukan 'Windows based'... kena taip command sendiri macam stail program C++.

Handphone

Memang sapa pun tak terfikir pasal handphone masa ni... dunia cukup aman sentosa kerana yang ada hanya public phone yang selalu dirosakkan. Telefon kat rumah pun jenis roll-dial... putar-putar macam roda 'gameshow' Roda Impian.

Permainan

Percaya atau tidak permainan masa ni yang cukup popular dan hanya boleh diselesaikan oleh orang yang didakwa sebagai bijak ialah... RUBIK. Alat mainan macam kotak dengan ada macam-macam kaler di setiap permukaannya. Cara menyelesaikan ialah dengan memastikan semua permukaan mempunyai jenis kaler yang sama... (sampai sekarang aku tak boleh 'solve' main rubik tu... haissss). Permainan konsol TV yang paling best masa ni ialah ATARI... cool beb kalau ada game nih... hahaha.

Orang Kuat

Bayangkan boleh orang percaya ada orang betul-betul kuat disebabkan tengok cerita Six Million Dollar Man lakonan Lee Majors sampaikan bila mamat tu pergi mana-mana pun... peminat dia suruh demo seolah-olah dia betul 'bionic man'. Yang tak tahan tu tiap-tiap kali Lee Majors nak tunjukkan kekuatan dalam cerita tu... terus adegan jadi 'slow motion' lepas tu ada bunyi sengau '... te'te'te'te'... betul beb, memang sengal tapi satu dunia minat Lee Majors dan percaya dia memang betul-betul 'bionic man'. Sampai la cerita Hulk muncul... terus orang guna statement... 'korang jangan buat aku marah... aku tukar jadi hijau kang'.

... walla weh, banyak lagi sebenarnya perkara yang berlaku sekarang samada jenis muzik, fesyen dan macam-macam lagi adalah kesinambungan atau sekadar ulang tayang dari apa yang berlaku pada tahun 80an... tak percaya? Percaya la...



Read more

Sunday, January 10, 2010

Dunia Semakin Mencabar... Kita Semakin Bercakar

Naik jemu rasanya bila tatap akhbar harian Malaysia... tak habis-habis dengan berita pihak-pihak yang bercakaran. Saya pun naik hairan juga bagaimana pengamal media di Malaysia tergamak 'mendidik' rakyat Malaysia baca berita-berita yang 'mencerca, mencaci, mengata... dan segala men(... negatif)... hari-hari tanpa 'miss'. Boleh dakwa lagi pembaca sekarang sudah matang dan dewasa untuk menilai sesuatu berita... paling tidak pun ada la mana-mana manusia yang akan kata... 'kalau tak suka, jangan baca'. Mudah betul kita menyelesaikan persoalan... hulur muncung mulut je. Dia tak tau ke air liur tu tersembur merata-rata. Nak harapkan berita alternatif di internet... harap je la, lebih kurang sama juga.

Sambil menonton Anugerah Juara Lagu di TV3, sempat juga saya baca Mingguan Malaysia (... haha, dua buah media yang amat dibenci oleh Pakatan Rakyat). Peduli la dengan berita-berita yang lain tapi saya amat tertarik dengan satu tajuk berita 'Industri Halal Dunia Kini Cecah RM7.4 Trillion... banyak tu. Kalau ditukar ke dalam angka... RM7,400,000,000,000... rasanya cukup bilangan kosong yang saya tulis nih. Perdagangan halal di pasaran global dengan bilangan umat Islam seramai 1.6 billion. Namun sehingga 30 April 2009, hanya 423 syarikat dari 1,686 permohonan persijilan adalah syarikat Bumiputera. Itu belum lagi kalau disiasat dengan teliti berapa ramai sebenarnya orang Melayu dalam syarikat Bumiputera itu yang benar-benar menjalankan perniagaan tersebut... tanpa menjual lesen taraf Bumiputera.

Terfikir juga saya kenapa kerajaan atau pembangkang semua tidak 'all out' memastikan kita ada 100% syarikat Bumiputera Islam yang menjalankan 100% perdagangan halal di Malaysia agar dapat memenuhi 100% keperluan makanan halal di Malaysia. Adat orang meniaga ni... kalau ada keperluan dan permintaan yang pasti... dia akan meniaga, apa saja di bawah matahari dan bulan. Saya amat pasti nilai dagangan halal di Malaysia mencecah bilion ringgit. Kenapa kita orang Islam di Malaysia tak tertarik dengan 'harta dunia' yang sebegini, bukankah menyediakan keperluan makanan yang halal adalah fardhu kifayah... kenapa kita biarkan diri kita hanyut dengan permainan politik kotor di Malaysia seolah-olah hal politik tu macam darah daging kita dah... macam nafas yang dihela... kalau tak ada, mati.

Mengikut kiraan tahun 2005, jumlah penduduk Malaysia adalah dianggarkan 28 juta orang di mana 60% darinya adalah orang Islam... 16,800,000. Bermakna orang Melayu ada pasaran dagangan domestik berjumlah 16,800,000 orang. Itu baru di Malaysia, belum lagi di negara lain... dan tidak ada alasan dari segi statistik bahawa kita mudah gagal berniaga dagangan halal. Sesungguhnya kita pasti akan berjaya dengan kekuatan angka ini. Namun kita masih sibukkan diri dengan berita-berita politik 'bangang' di Malaysia. Orang dulu kata... orang dah ke bulan, kita entah ke mana hanyut tak ada haluan. Bila ditegur saya amat pasti hanya 2 reaksi yang selalu ditunjukkan... melatah atau mengamuk. Melatah meletakkan kita sama dengan orang Eskimo, mengamuk meletakkan kita sama dengan orang tak siuman. Ye la, media boleh kata mereka juga hidangkan berita yang lain tapi mukasurat berapa mereka letak.

Saya yakin masih sempat untuk orang Melayu Islam menguasai perdagangan halal dunia kerana agama sesungguh menyatukan kita semua. Buatlah sekarang dan saya pasti akan 'provoke' semua orang yang saya kenal untuk membantu setidak-tidaknya sebagai pengguna. Besarkan perniagaan, buat skim latihan untuk pelajar-pelajar, didik anak bangsa agar bersaing di peringkat domestik dan global... saya yakin boleh kerana sifat orang Melayu Islam ni, kalau mereka tumpu dengan tekun sesuatu perkara, mesti selalunya akan lebih pandai dari orang lain kerana memang sifat Melayu sebagai 'fast learner'. Malangnya, kita dididik 'belajar benda-benda bangang' oleh sebilangan ahli politik yang 'lebih gaya dari rupa'... ahli politik yang jenis ni paling suka mendabik dada sebagai pejuang bangsa.

Saya rasa cukuplah kita merosakkan masa depan anak-anak Melayu Islam kita... hentikanlah sekarang juga. Bimbinglah mereka atau setidak-tidaknya kumpullah mereka dan bawalah berjumpa dengan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir yang mendedahkan berita tentang dagangan halal dunia tu. Saya yakin pasti beliau mempunyai rencananya sendiri dalam agenda membangunkan ekonomi orang Islam. Jangan kita mudah tunduk atau mengalah jika ada sedikit gangguan politik atau kata-kata 'kotor' segelintir orang bagi melemahkan semangat kita kerana kelak yang rugi adalah kita.

... jika kita tidak mulakan hari ini, saya merasa bimbang... esok mungkin tiada.
Read more

Masih Ada Yang Sayang


Sudah agak lama rasanya saya tidak menghadiri program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh rakan-rakan yang masih lagi aktif di dalam pertubuhan bukan kerajaan, baik di pihak kerajaan maupun di pihak pembangkang. Baru-baru ini saya berpeluang menghadirinya atas jemputan dan pada hari Jumaat lepas, saya 'dibawa khas' dari Shah Alam dengan segala pengangkutan serta makan-minum ditanggung... saya harap selepas ni akan dijemput selalu.

Sebuah NGO iaitu Yayasan Aman telah mengadakan satu program khas untuk penduduk setempat di Permatang Pauh (... tengok gambar tu tau la tempat siapa) bagi menyampaikan sumbangan cermin mata khusus untuk penduduk kawasan itu yang telah dtemuduga, diperiksa dan layak untuk mendapat sumbangan cermin mata. Saya difahamkan pada awalnya, Yayasan Aman hanya menyediakan sumbangan sebanyak 200 pasang sahaja namun sumbangan dari beberapa pihak yang bersimpati telah memungkinkan sumbangan tersebut dinaikkan melebihi dari 200 pasang.

Saya berpeluang berada di sana untuk keseluruhan program... agak sederhana acaranya tapi memberi makna yang besar kepada penduduk yang amat memerlukan bantuan cermin mata. Terharu juga mendengar cerita beberapa warga emas menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga kerana... sekarang mereka boleh membaca Al-Quran dengan lebih mudah. Dan bagaimana terusiknya hati saya apabila mendengar seorang ibu yang terpaksa membiarkan anaknya hidup dalam kerabunan kerana tidak mampu membeli sepasang cermin mata. Pada hari pemeriksaan barulah mereka sedar bahawa tahap kerabunan anak mereka adalah 1000 mata. Saya yang baru tahap 350 mata kerabunan pun menggagau cari barang bila tak pakai cermin mata.

Ucapan yang disampaikan oleh Pak Sheikh Anwar pun agak santai tanpa menggarap isu-isu besar negara terlalu mendalam. Cuma semasa sidang akhbar yang agak santai di tangga luar dewan, beliau agak kritikal mengulas tentang kejadian membakar gereja setelah diasak dengan soalan dari pemberita.


Saya dimaklumkan bahawa program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan pihak Yayasan Aman juga mengharapkan agar mana-mana individu atau sektor korporat juga sudi menghulurkan sumbangan.

Kepada rakan-rakan di pihak sebelah satu lagi... sudi-sudilah jemput saya menghadiri program kemasyarakatan dan janganlah tetapkan sangat protokol. Saya memang tidak pernah menghadapi masalah protokol apabila menghadiri majlis rakan-rakan dari Pakatan Rakyat namun dari Barisan Nasional... agak sukar untuk saya mendekati pemimpin agung mereka, nak bersalam pun setakat melambai dari jauh. Kepada semua pun saya harapkan, hentikanlah menggunakan pendekatan 'brandising' orang lain semata-mata kerana kita baik dengan sesiapa jua yang tidak baik dengan anda kerana sebagai seorang Muslim... kita harus mendekatkan ummah. Orang yang tidak begitu gemar 'berparti' macam saya ni tak pernah peduli apa pun bendera yang anda pakai.

Selamat berjuang kepada semua rakan-rakan NGO... percayalah, umat Islam dan Melayu amat memerlukan kamu semua sekarang ni... lebih dari mereka memerlukan kamu dahulu. Tak payahlah kita jadi bertelagah dan bersyak-wasangka sesama kita semata-mata nak senangkan hati 'bos' masing-masing.

Read more

Saturday, January 9, 2010

Bakar... Filem Terbaru Malaysia Tahun 2010

Apabila saya terbaca di internet semalam... '4 Buah Gereja Dibakar', perkara pertama yang keluar dalam fikiran saya adalah... '... Islam ku'. Saya amat yakin semua orang akan berfikir ini adalah kerja orang Melayu yang beragama Islam... orang yang sebangsa dengan saya dan sama agamanya dengan saya. Saya berada di Pulau Pinang semalam memenuhi undangan satu program yang dianjurkan oleh rakan-rakan di Permatang Pauh... namun agak sibuk dengan 'handphone' melayani sms rakan-rakan yang tak putus-putus bertanyakan tentang kejadian bakar gereja itu. Potong stim betul sebab semalam baru nak hangat borak dengan kawan-kawan lama tentang hasrat kerajaan mengenakan harga minyak berdasarkan saiz kereta (... cerita lain kali).

Saya kira Malaysia telah memcatatkan satu rekod baru apabila kejadian ini berlaku... terima kasih kepada 'orang bangang' yang bakar tempat ibadat tu. Dan saya amat yakin mereka bukan orang Islam atau pengikut ajaran sesat kerana Rasulullah s.a.w telah secara jelas melarang umatnya membakar tempat ibadat. Jika kita 'google' di internet dan cari tentang kisah bakar masjid... kita akan jumpa di merata dunia, banyak masjid dibakar malahan lebih dari itu... mereka bunuh orang Islam yang sedang beribadat di dalam masjid tersebut... termasuklah wanita, kanak-kanak dan warga tua... takde la pulak saya lihat mana-mana NGO atau penganut agama lain di Malaysia yang bingkas memberikan ulasan tentang kejadian bakar masjid atau bunuh orang dalam masjid. (... tidak seperti orang kita di Malaysia, dalam masa tak sampai 24 jam sorang YB beragama Islam bingkas bersuara sokong penggunaan kalimah 'Allah' oleh penganut agama lain). Saya takkan ulas tentang ini kerana terlalu panjang untuk dihuraikan.

Saya kira isu penggunaan perkataan 'Allah' ini telah lama dikemukakan oleh pihak majalah mingguan Katolik, Herald di mahkamah dan respondennya adalah Kementerian Dalam Negeri ('KDN'). Saya telah membaca beberapa laporan akhbar tentang perkara ni dan sebagai 'orang awam' saya agak terkilan dengan KDN kerana kegagalan mereka mengingatkan saya kembali tentang kehilangan satu pulau kepada Singapura akibat dari 'tidak mengetahui' adanya dokumen atau hujah lain. Saya juga sungguh terkilan kerana sangkaan saya adalah... kenapa mereka tidak meminta Jabatan Peguam Negara atau JAKIM untuk 'intervene' sejak dulu lagi bagi membincangkan implikasi penggunaan perkataan 'Allah'. Kita telah bertegang urat kerana penggunaan nama 'Allah' yang diminta itu adalah dari segi bahasa dan mahkamah dilihat membenarkan penggunaannya dari segi bahasa juga (...saya akan ulas kemudian). Sekarang bila dah jadi kecoh... baru sibuk nak buat dialog la... rayuan la.

Saya kira orang di KDN, Jabatan Peguam Negara dan JAKIM adalah 'manusia terpilih' dari kalangan yang hebat belaka kerana dah tugas mereka mempertahankan negara... bukan boleh main teka-teka macam teka belalang dalam genggaman... negara yang kita pertaruhkan. Saya mula merasakan kemenangan di mahkamah adalah berdasarkan 'kecekapan teknikal dari segi bahasa'... mahkamah tiada roh atau nilai moral kerana perkara yang berupa 'hikmah' atau 'spiritual' susah dibuktikan secara teknikal dan fizikal mahupun secara bertulis... agaknya la kot kan. Setidak-tidaknya inilah pandangan orang awam seperti saya namun siapa la kita untuk memberi komen kerana silap haribulan... orang perundangan ni dakwa kita kerana menghina mahkamah... itulah pun yang mereka boleh buat untuk mempertahankan diri dan menolak pandangan kita. Harapan dan doa saya semoga Allah (... Yang Maha Esa... tidak beranak dan diperanakkan) memberi mereka kekuatan ilmu hujah dan hikmah dalam mempertahankan Islam di Malaysia.

Saya kira tentu Tan Sri Murphy Pakiam, Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia ni juga hebat orangnya. Saya yakin beliau tidak membuat keputusan memohon penggunaan kalimah 'Allah' ni tanpa berbincang dengan rakan-rakannya di Eropah atau tanpa mendapat 'consent' dari bos dia... Pope Benedict XVI. Kalau tidak silap, golongan penganut Kristian yang paling ramai di dunia ni percaya pada satu Tuhan yang abadi yang menjelma kepada tiga bentuk... God the Father, God the Son dan Holy Spirit. Satu konsep yang mereka panggil 'Trinity'. Ini juga memerlukan huraian panjang yang tidak perlu saya ceritakan di sini. Tapi cuba kita ambil penggunaan sekadar menukar perkataan 'God' tersebut kepada Allah? Bolehkah kita terima Allah ada 3 bentuk? Bolehkah semua orang terima dengan akal yang waras bahawa penggunaan perkataan Allah oleh Herald tidak langsung akan menimbulkan kekeliruan di masa sekarang atau hadapan... bolehkah kita mengatakan tidak perlu resah dengan perkara ini? Dan saya tertanya-tanya kenapa Ketua Paderi Roman Katolik Malaysia ni begitu beriya-iya mahu menggunakan kalimah 'Allah' ni... saya yakin beliau juga pernah membaca Al-Quran kerana itu adalah sebahagian dari kerja paderi... mengkaji kitab agama lain. Saya harap beliau tidak tersilap langkah kerana hasratnya kini telah menjarakkan lagi hubungan antara agama di Malaysia sedangkan semua kitab agama menganjurkan perpaduan antara agama (... walaupun penganut agama mereka terkenal sejak dari dulu dengan tindakan membakar dan merobohkan masjid malahan membunuh orang yang sedang solat di dalam masjid). Punyalah baik YB kita yang beragama Islam di Malaysia... siap lawat lagi kerosakan yang berlaku di gereja yang terbakar semalam... punyalah mulia hati orang Islam ni.

Saya kira susah juga nanti anak-anak penganut Kristian hendak dibaptiskan selepas ni. Ajaran Kristian yang mereka dakwa dibawa oleh Jesus (... saya enggan mengatakan Nabi Isa a.s) mengajar apabila dibaptiskan mesti sebut... 'in the name of Holy God, Hold Son and Holy Spirit'. Jika mereka gantikan perkataan God itu dengan kalimah 'Allah'... macam mana nak sebut? Bukankah Jesus mereka telah mengarahkan mesti sebut 'GOD' bukan 'Allah'. Mereka akan menjadi tidak konsisten jika menukar perkataan GOD dengan kalimah ALLAH... dan kesannya... ajaran mereka boleh berubah-ubah (... sedangkan Allah telah menyatakan Al Quran akan kekal terpelihara hingga kiamat dan memang tidak pernah berubah pun sejak dulu lagi walau satu huruf). Kenapa Pope sendiri tidak mengeluarkan dekri agar semua Bible menukar perkataan GOD dan digantikan dengan ALLAH? Kerana saya yakin beliau sendiri tahu kalau nak guna perkataan ALLAH... anuti Islam. Sungguh benar ayat 120, Surah Al-Baqarah dan ayat 30-32, Surah At-Taubah yang menjelaskan bahawa golongan Yahudi dan Nasrani tidak akan redho dengan orang Islam sehingga orang Islam mengikut cara hidup mereka (... saksikan betapa indahnya Al-Quran sehingga susunan ayatnya juga tepat... Yahudi disebut terlebih dahulu dari Nasrani kerana itulah turutan sejarah yang dicipta ALLAH).

... saya kira apabila Malaysia dikatakan sebagai negara Islam contoh, sepatutnya saya harus merasa bangga. Dan sekarang saya kira... saya perlu lihat semula. Semoga ALLAH lindungi kita semua... amen.


Read more

Sunday, January 3, 2010

Antara Slogan Dan Yang Kita Lihat

Sikit punya skema tajuk tulisan... macam ayat-ayat cinta orang politik pun ye. Tapi sebenarnya ni tulisan biasa je... kisah kehidupan yang hari-hari kita kena mengadap. Ada kawan minta saya ulas tentang keputusan mahkamah baru-baru ni tentang penggunaan kalimah 'Allah' oleh selain penganut Islam di Malaysia tapi rasanya isu tu terlalu tinggi untuk saya ulaskan, biarlah ahli-ahli politik bertegang leher seminggu ni... dah memang tu pun keje diaorang di Malaysia ni. Kita tinggalkan dulu kisah diaorang ni... lantak pi la depa.

Macam biasa asal cukup bulan je... berlari la saya ke bank untuk bayar macam-macam bil. Dulu boleh ke kaunter tapi sekarang bank pun dah menyampah tengok muka kita... dia letak mesin 'cash deposit' dekat luar bank. Siapa saja yang nak bayar pinjaman... 'dihalaunya' sambil tersenyum supaya kita guna mesin 'cash deposit' tu di luar bank. Orang bank ni pun satu... buat promosi gila-gila, bagi pinjaman kat ramai orang... lepas tu bila nak bayar bil... dia letak SEBIJIK je mesin 'cash deposit', kalau nasib-nasib ada la dua bijik... itupun dekat cawangan yang besar. Beratur panjang satu hal... asal masuk duit kena 'reject'... masuk je, dia 'reject' lagi... hek eleh. Yang orang belakang kita pun dah datang tepi kita pandang kita semacam... saiko tu. Kita pun komplen la kat dalam... boleh senyum tu kata duit yang kita guna tu rosak la, koyak la, lapuk la... weh, apehal korang ni... duit yang kita guna tu lepas 'cucuk' dekat mesin ATM korang la. Diaorang boleh nak 'cover line' lagi tu siap kata... 'Encik lain kali datang seminggu awal sebelum hujung bulan'. Ingatkan cerdik sangat siap pakai tie bagai... diaorang ingat gaji masuk tengah bulan ke? Kepada bank-bank manager... sila ambil perhatian. Tumpu pada kerja anda dan jangan duduk dekat pejabat je tunggu pukul 2 petang sebab nak jumpa client (... main golf?)... sengal.

Kaunter dalam bank pun satu hal... bayangkan ada sampai berbelas kaunter tapi tak pernah sekali pun semua kaunter tu dibuka sekaligus. Rasanya tujuan kaunter tu dibuat agar pelanggan takkan beratur sampai 10 orang atau nombor giliran ada sampai ada 20 orang lagi di depan yang akan buat urusan. Kadang-kadang tu bank manager lalu lalang tapi dia buat 'derk' je... dia takmo arah ke mana-mana kakitangan buka kaunter yang ditutup tu bila dah banyak sangat nombor giliran dah keluar? Kita nak sound staff dia kang... dia sound kita balik. Tapi kalau tengok diaorang ni buka kaunter kat 'shopping mall' tu... alahai, bukan main manis senyum. Orang yang tak minat pun habis diikutnya berjela-jela panjang dok terang produk baru bank dia.

Sekarang ni kalau pandu kereta time hujan... gerenti tension semacam. Jalan jem satu hal... tapi bila tengok jem sebab banjir atas jalan akibat dari saluran air ke longkang tersumbat... memang hangin. Rasanya tiap-tiap bulan majlis perbandaran dok bayar je 'maintenance cost' dekat kontraktor... semata-mata nak bagi jalan elok. Tapi tiap-tiap kali hujan lebat... jalan mesti banjir sana-sini akibat saluran air ke longkang tersebut... sikit punya hal je tu... sodok dengan kayu pun sumbat tu boleh clear. Tapi pernah ke kita nampak kakitangan majlis ke sapa ke yang berwajib keluar tengok jalan time hujan... semua dok kat ofis main Facebook, percaya la. Takkan sibuk main Yahoo Messenger. Diaorang yang terbabit dengan hal-hal teknikal ni pulak keje ikut time pejabat... abis masalah ada time pejabat je ke? Buat la shift keje beb... time hujan ke ribut ke... turun padang la tinjau keadaan. Asyik check kerja kontraktor time nak buat payment je... memang la time cuaca cantik. Korang tak pernah terfikir ke orang boleh eksiden ke... kereta rosak ke disebabkan dek banjir tu... masalah betul la korang ni... haiss.

Last sekali... ni memang saya tuju khas dekat Sinar Harian dan Harian Metro. Dah bertahun-tahun rasanya dua-dua paper nih. Tapi kalau sampai sekarang korang tak pernah semak 'spelling error' yang memang ada dalam tiap-tiap keluaran... takyah jual la suratkhabar. Dok tegur orang sana-sini, lapor macam-macam sampai ada kacau-bilau suasana dibuatnya bila korang main bedal je lapor sebab nak bagi sensasi agar jualan naik... tapi ejaan lebih kurang macam tulisan saya je dalam blog ni... suka la saya syorkan agar hantar para editor masuk kursus ejaan. Korang jangan ingat ni saja-saja nak komplen.. ni Metro ni dengor sini. Cuba tengok balik keluaran 3 Januari 2010, mukasurat D2 - Metro Ekspresi... tajuknya 'DIPILIH TERBAIK DEKAT INI'.... tapi kat belah bawah tu ada tulisan kata... 'Rekod Terbaik Sepanjang Dekad Lalu'. Sikit punya besar tajuk korang beb... salah la pulak tu... DEKAT ke DEKAD?

Haaa... korang pikir la sendiri.


Read more

Friday, January 1, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2010

Tahun baru datang lagi... 2010. Selamat tinggal 2009. Saya sekadar menyambut kedatangan tahun baru di rumah saja sambil menonton TV. Meriah juga bila lihat di Saluran TV2 yang menyiarkan sambutan secara langsung yang ditaja oleh Kumpulan AmBank. Cuma tertanya di mana Perdana Menteri Malaysia dan barisan menterinya, tak teringin ke sambut tahun baru bersama rakyat di Dataran Merdeka... tiba-tiba saya rasakan agak hambar suasana sambutan itu tanpa kehadiran kesemua hulubalang Malaysia... tak dapat kad jemputan agaknya atau mungkin satu lagi 'taktik' sama sepertimana 'ketidakhadiran' ramai YB-YB semasa undi Bajet 2010 dikemukakan di Parlimen baru-baru ini. Nampaknya masih ada yang tak berubah... kena PM datang barulah ramai YB-YB berebut-rebut datang untuk 'punch card'. Apapun, Selamat Tahun Baru 2010 bapak-bapak menteri.

Saya ada juga terfikir untuk tidak menulis tentang politik pada tahun 2010 namun bergantung kepada keadaan... sebab ramai sangat kawan-kawan yang minta saya menulis tentang politik. Tengok la macam mana nanti... saya jarang mengarang tulisan saya kerana saya lebih berminat tulisan spontan. Dan bukanlah juga cita-cita saya untuk menjadi penulis... haha. Susah jadi penulis ni dan bukan semua perkara boleh saya tulis.

Banyak perkara yang ingin saya tuliskan sebenarnya... adakalanya apabila berjumpa kawan-kawan yang jenis 'suka bincang perkara heavyweight'... saya kena juga menulis, kalau tidak kepala ni bersarang dengan berbagai maklumat. Mana tidaknya, kawan-kawan tu pulak kebanyakannya peguam, pakar motivasi, usahawan... dan yang paling koman pun... loyar buruk. Haha... jangan marah kawan-kawan sekalian. Walau apa pun status kamu semua... saya tahu kamu semua ada la jenis 'action-oriented'... ramai di antara kamu yang telah berbelas tahun terbabit secara serious dengan program pembangunan sosial untuk berbagai peringkat umur dan bangsa. Jadi kalau saya menulis di sini dan guna segala apa yang telah kita bincangkan... jangan la mintak royalti pulak.

Namun dalam kegembiran menyambut tahun baru ni... hati saya agak tercuit juga dengan apa yang berlaku sepanjang tahun 2009. Kehilangan ayahanda yang amat saya kagumi benar-benar menyakitkan. Begitu juga kehilangan beberapa orang kawan yang pulang ke rahmatullah... ramai juga kawan-kawan saya yang berumur 50 tahun ke atas, boleh dikatakan hampir separuh dari jumlah kawan-kawan saya yang ada.

Jadi untuk tahun 2010 ni... tak banyak harapan tinggi yang saya letakkan kecuali tahun 2010 adalah tahun mencari rezeki sebanyak yang mungkin. Saya ingin lakukannya bukan sahaja sebagai simpanan untuk hari tua tetapi untuk mencari kepuasan diri. Saya pernah bekerja bagi memastikan pulangan jutaan ringgit kepada syarikat tempat saya bekerja dulu dan sekarang saya ingin lakukannya untuk diri sendiri... dan semoga Allah mengizinkannya dan memberi laluan yang lapang serta dipermudahkan... amin.

Mudah-mudah kesihatan kawan-kawan semua bertambah baik, keluarga bertambah bahagia, rezeki halal yang bertambah dan semakin hampir kepada Allah dalam apa jua tindakan. Jangan jemu membantu adik-adik kita yang perlukan bimbingan abang-abang seperti kita ni. Banyak yang boleh kita capai... kerana kita pernah mencubanya walaupun ada rintangan (... yang kadangkala macam bodoh je bunyi alasannya... hahaha) tapi kita semua tahu... kita pasti boleh capai bersama-sama.

Adakalanya...

... hidup ni macam sungai kerana akhirnya ia menuju ke arah yang sepatutnya ia tuju dan bukan ke arah yang kita mahu ia tuju.

... hidup ni umpama permainan bolasepak. Kita tidak boleh membuat sasaran yang jauh kecuali kita tahu arah mana gawang golnya.

... hidup ni mesti dijelajahi walau bagaimana teruk jalan dan perhentiannya.

... hidup ni adakalanya umpama makan 'lunch buffet' di hotel. Kita makan semuanya sebab semua yang dihidangkan dah ada dalam harga yang kita bayar.

... hidup ni pun kadang-kadang macam gabungan berbagai bahasa asing yang membuatkan kita selalu tersalah faham dan tersilap tafsir.

Mudah-mudahan kita berjalan di atas landasan yang betul... kita pun tak tau bila ajal akan tiba. Selamat Tahun Baru 2010 kepada semua.
Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...