Wednesday, January 28, 2009

Tahun Ini Tahun Lembu


Mengikut kalendar masyarakat cina, tahun ini adalah tahun lembu dan pada sambutan Tahun Baru Cina semalam dan kelmarin, kita dapat saksikan masih ada kemeriahan sambutan hari perayaan ini walaupun ramai 'taukeh' sedang pening kepala akibat keadaan ekonomi semasa. Saya ada juga menerima jemputan namun tidak berkesempatan memenuhi undangan akibat komitmen lain yang agak mendesak.

Namun sambutan 'Tahun Lembu' tahun ini di negeri kelahiran saya, Selangor Darul Ehsan lebih meriah kerana ianya disambut 'lebih awal'. MB Selangor telah didakwa oleh mantan Menteri Besar dan GERAK, telah melakukan rasuah dalam isu pemberian lembu-lembu sempena Hari Raya Korban. Saya tidak ingin mengulang apa yang telah dilaporkan oleh media tetapi pendedahan ini telah membuka kepada lebih banyak persoalan yang lain:-
  1. Lembu yang disedekahkan (dakwa kerajaan) adalah untuk orang ramai, bukannya untuk peribadi atau kepentingan politik (dakwa pembangkang). Betul ke atau mungkinkah dulu semasa pemerintahan mantan Menteri Besar, perkara yang sama pernah berlaku?.
  2. Kita tidak boleh sedekahkan lembu itu kepada orang luar tetapi kepada rakyat Selangor sahaja. Bukankah penduduk di Parlimen Bandar Tun Razak juga ramai yang beragama Islam dan tidak mustahil ramai di antara mereka yang lahir sebelum tahun 1972 iaitu tahun pengisytiharan Wilayah Persekutuan. Semasa itu Kuala Lumpur adalah sebahagian negeri Selangor.
  3. Jika isu pemberian bantuan kepada orang luar ditimbulkan, bukankah kita pernah beri bantuan kepada mangsa tsunami di negeri lain malahan hingga ke Acheh. Macam rombongan Cik Kiah kita hantar orang ke sana. Kalau hendak dikirakan isu orang luar, jangan diberi bantuan walau apa bencana sekalipun sehingga tiada seorang pun orang miskin di Negeri Selangor.
  4. Yang bising sangat tentang pemberian ini adalah orang Melayu, bangsa saya. Yang menerima sedekah lembu ini juga orang Melayu, ada 'bin' di dalam kad pengenalan seperti saya juga. Yang memberinya pun sama kulitnya seperti saya. Yang mendedahkannya adalah kawan-kawan lama saya yang sekarang telah 'berpartikan' GERAK, juga asalnya seperti bangsa saya. Saya tertanya-tanya juga... siapakah yang sedang bertepuk tangan?
  5. Tiba-tiba Menteri Besar Selangor minta OSA dimansuhkan dan beliau mendedahkan ada bukti-bukti penyelewangan semasa pemerintahan dulu yang lebih memerlukan perhatian. Dah jadi macam cerita bekas seorang reformis dulu pulak, ada berkotak-kotak bukti rasuah, sampai sudah senyapnya sebab sibuk isu lain. Nampaknya persidangan dewan undangan negeri Selangor akan datang ini lebih menarik sebab MB dah kata akan didedahkan di dewan bagi mengelakkan beliau dikenakan tindakan OSA.
  6. Saya kira jika GERAK berani mendedahkan dokumen rahsia tanpa takut risiko dikenakan tindakan OSA, sudilah kiranya buat 'appointment' jumpa MB Selangor dan dedahkan semua penyelewangan yang didakwa berlaku oleh MB tersebut. Pak Sheikh GERAK pun orang Melayu dan MB Selangor pun orang Melayu, rasanya masalah komunikasi dalam Bahasa Kebangsaan akan berjalan dengan lancar.
  7. Rupa-rupanya tidak lancar juga pertuturan orang Melayu berbahasa Melayu, sekejap cakap macam ni, esok cakap macam tu. Kejap kata arahan, kemudian kata sumbangan. Kejap kata sumbangan, rupa-rupanya sedekah. Ingatkan niat sedekah dah kira baik, rupanya sekarang dah jadi 'dosa'.
Jika masyarakat Cina menafsirkan Lembu dengan berbagai perkara yang baik, kita pula lebih banyak menggunakan perkataan 'lembu' untuk hal-hal yang lebih menarik:-

Bagai lembu dicucuk hidung
Lembu punya susu, sapi dapat nama
Busuk macam lembu
Bodoh macam lembu

Tahun ini siapa pulak agaknya yang akan 'handle' hal-hal lembu korban ni... mari kita lihat siapa yang kena!!
Read more

Friday, January 23, 2009

Selamat Tahun Baru Cina



Xiawu hao. Saya mengucapkan Gongxi Fa Chai kepada rakan-rakan berbangsa Cina. Semoga perniagaan tahun 2009 ini dipermudahkan dan mendapat rezeki berlipat ganda hendaknya. Teringat semasa sekolah di ACS Klang dulu, masa raya Cina, boleh collect angpow puluh-puluh ringgit.

Juga ucapan Selamat Tahun Baru Cina kepada laoshi kelas Mandarin saya, Ms Heng serta rakan-rakan sekelas. Hafal, jangan tak hafal.

Zaijian
.
Read more

Peperangan Yang Tidak Berkesudahan... Keegoan Pemimpin Dan Nasib Rakyat



Hari ini saya berkesempatan mendengar ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz berkenaan perang menentang hawa nafsu. Itulah jihad terbesar seorang insan, tidak boleh tidak, setiap orang pasti akan menghadapinya. Semua rakan-rakan terdiam mendengarnya dan masing-masing tertunduk apabila ustaz tersebut berkata... merokok itu haram, melawan tabiat merokok tersebut adalah satu jihad. Samada bersetuju atau tidak... rasanya tidak kot, nampak berasap juga kawasan tangga yang agak tersorok di sebelah lif.



Ada berbagai jenis peperangan yang pernah saya dengar. Perang saraf, perang senjata, perang ekonomi... sehinggakan hendak digambarkan betapa besarnya erti perang tersebut... orang yang berambut perang pun... dianggap luarbiasa sedikit penampilannya. Perang membabitkan duit, propaganda, fizikal dan EGO pemimpin. Ustaz tersebut berkata, Firaun merasakan dirinya 'super' hebat hinggakan dialah satu-satunya manusia yang berani mengatakan dirinya TUHAN. Rasa 'super' hebat tersebutlah yang menyebabkan dirinya EGO, keegoan yang melampau. Hingga diisytiharkannya perang ke atas setiap orang yang melahirkan anak lelaki.

Dan apabila peperangan berlaku atas kehendak pemimpin tersebut atas nama 'keamanan' dan 'demi keadilan kepada rakyat', yang menjadi mangsanya adalah RAKYAT. Rakyat terpaksa dikorbankan, rakyat terpaksa diracuni fikirannya, rakyat terpaksa dicelarukan akalnya, rakyat terpaksa ditipu inteleknya... agar 'membenarkan' usul peperangan itu. Tidak kiralah peperangan jenis apa... menentang rasuah, ketidakadilan, kesaksamaan atau apa saja.



Sudah tentu apabila sesiapa berani memulakan peperangan, niatnya adalah untuk menang. Tidak kiralah bagaimana caranya di zaman moden ini, fatwa halal dan haram akan dikeluarkan sendiri... demi rakyat katanya. Dan peperangan yang mereka pilih itu berunsur kepentingan diri, walaupun terpaksa menjilat ludah sendiri. Seorang rakan yang pernah saya kenali dulu, lama dulu, sampai keluar airmata dan hingus terjerit-jerit melaungkan rasuah yang dilakukan oleh pemerintah. Ye la, masa tu dia duduk dalam kem pembangkang... kenalah dia meludah ke luar kem. Berkotak-kotak katanya bukti rasuah dan bila-bila masa akan berGERAK untuk membongkarkan perihal rasuah yang berkotak-kotak itu.



Ada saya terbaca di suratkhabar tiba-tiba rakan saya itu pindah kem, rakan-rakan saya dalam kem tersebut pun beraturlah menyambut kedatangannya... 'dah Bos salam, kita ikutlah sheikh. Kita bagi muka kat Bos je, ikut hati mati budak ni'. Itulah kata-kata rakan-rakan saya yang pernah 'ditikam dan dipenggal' oleh penghuni baru itu. Tiba-tiba pihak yang ditinggalkan dalam kem lama tu pulak dituduh macam-macam... boleh macam tu pulak.

Rupanya peperangan zaman moden ini ada nilai-nilai 'survival' dan kelangsungan hidup. Saya sendiri pernah hidup seketika seperti 'pemimpin'... disambut, disanjung dan semua orang nak jumpa kita, memang rasa macam orang penting. Tidak hairanlah, memang cukup susah nak tinggalkan 'lifestyle' macam tu bila dah terlalu lama kita hidup cara 'pemimpin'. Samalah macam tabiat merokok kan... yang sedut asap tu, yang makhluk berbangsa jin suka tu. Memang susahlah nak berhenti merokok... ada la berhenti sekejap, tiba-tiba jumpa la kuntum mana berkenan. Tu pun sekejap je, kuntum buat hal, merokoklah balik.


activerain.com

Kepada semua yang berhati mulia ingin berkhidmat untuk rakyat, berlaku jujur dan ikhlas terhadap diri sendiri terlebih dahulu. Janganlah dipilih-pilih menimbulkan isu yang sekadar hendak memburukkan orang lain demi menaikkan populariti atau 'rating' diri sendiri. Bimbang suatu hari nanti, sejarah akan 'membogelkan' anda, mungkin jasad anda pada masa itu di dalam liang lahad tetapi kesian anak cucu. Siapa sangka hari ini orang menyanjungi Hang Jebat sedangkan dulu sejarah menentangnya.

Kata orang tua...

Siakap senohong gelama ikan duri
Bercakap bohong lama-lama mencuri


Itulah sebabnya ramai takut hudud agaknya... dah terbiasa cakap bohong, mungkin dah banyak yang dicuri. Macam mana nak pakai jam bila lengan dah kena potong.... 'kudun' kata ayahnya Ahmad Albab. Takkan nak kalung jam dinding kat leher kot... macam rappers la pulak.



yo.. oo.. oo
Read more

Thursday, January 22, 2009

Malaysiaku Tercinta... Yang Pertama, Gelaran Negarawan Dan Glamour

Ramai rakan-rakan mengadu tentang ekonomi semasa. Ada yang sugul, ada yang sedih dan ada yang bertanya bisnes apa yang boleh dibuat dalam keadaan sekarang ni. Alhamdulillah bagi orang yang bekerja makan gaji seperti saya ini, cukuplah sekadar makan pakai. Nak disyorkan masuk ujibakat rancangan realiti tv, rasanya ada yang agak 'senja' dah, tambahan pula suaranya taklah sesedap rakan 'Jamal Abdillah' saya, abang Yousman atau rakan 'Ziana Zain' saya, kak Linda. Mungkinlah juga suara mereka boleh dipertaruhkan. Kalau takat menyanyi lagu Mat Jais pun setengah mati keluar air mata, tak payah.

Mungkin ada beberapa 'perkara luarbiasa' yang boleh dilakukan untuk menarik perhatian pak-pak menteri dan media yang boleh membuatkan 'value' kita naik mendadak. Indah dibaca kisah mereka di suratkhabar tetapi pengorbanannya, hanya mereka yang tahu. Mungkin beberapa kisah di bawah boleh memberikan inspirasi selain kadang-kadang boleh sakit hati sebab mudahnya dapat jadi Dato'.

RAJA SMS NEGARA



Mungkin rakan-rakan boleh masuk kelas muzik atau suara ke, ujibakat Akademi Fantasia pun nak bermula. Tak perlu pandai menari tapi kebolehan tahan maki adalah wajib. Boleh tahan juga mulut orang yang jadi juri tu... pedas. Siapa sangka anak peneroka Felda menjadi pujaan ramai dan majlis perkahwinannya... 7 hari 7 malam. Rasanya ada negeri kot 2-3 tahun nanti bagi Dato' kat Mawi, ye la, skim penggalakkan pelancongan. Ramai apa peminat Mawi World. Bagi yang memang sah tak boleh menyanyi tapi asyik Widuri je lagunya... daftar masuk Raja Lawak tahun depan. Kan dah kaya si Nabil tu.

RAJA RENANG



Cadangan ini hanya sesuai untuk rakan-rakan yang pandai berenang. Apalah sangat berenang merentasi Selat Inggeris tu kan... lautan api pun sanggup ku renangi. Berbaloi apa, dengar khabar dapat Dato'... dapat jadi tokeh teksi limosin. Buat rakan-rakan yang berenang takat berpaut tepi tebing kolam renang tu, saya sudi ajar berenang... belilah pelambung itik letak kat lengan tu dulu. Siapa pulak nak bagi 'mouth to mouth' oksigen tu kalau lemas nanti.

RATU SKUASH NEGARA



Pemain no. 1 dunia, saya ulangi... world. Apalah sangat world si Mawi tu jika nak dibandingkan dengan Nicol David... err Dato'. Seorang rakan pernah beritahu saya kejayaan Nicol besar ertinya kepada negara. Saya setuju kerana diceritakan ada yang sanggup berkunjung ke Malaysia semata-mata hendak melihat Nicol bermain. Bayangkan berapa banyak aktiviti ekonomi berputar hanya kerana Nicol. Terimakasih Nicol atas sumbangan anda, mungkin jika saya berkesempatan berjumpa Menteri Sukan kita, saya akan syorkan agar wajah kejayaan anda dipaparkan di billboard pelancongan yang bersepah-sepah di Lembah Klang. Asyik gambar PM, TPM dan Menteri Pelancongan je, pelancong ingat gambar pegawai imigresen pulak nanti. Maaf Dato' Seri... :). Saya pun tak berapa nak faham macam mana nak nasihat rakan-rakan ceburi sukan ni... asyik pukul dinding je... melantun, pukul balik.

Akhir sekali, kawan-kawan kaki motor yang selalu 'port' dekat Stadium Mini, Seksyen 13, Shah Alam tu kata, race pun boleh buat duit. Tapi asyik bermotor hala ke utara je... bukan habis duit ke? Tak kisahlah, asal jangan merempit sudahlah, tak baik menaya anak dara orang. Mungkin satu hari nanti, saya harap kawan-kawan kaki motor ni dapat bawak motor ke Stadium dan beri peluang saya rakamkan perhimpunan motor mereka. Bengang jugak tengok gambar dekat bawah ni dok tayang motor... topless beb.


Macam Tarzan pun ada yang hujung tu...
Read more

Pusingan Kelayakan - Piala Asia







Malaysia.... kalah lagi!!... seperti biasa.

Semalam UAE (seperti yang dijangkakan oleh bookie-bookie sambilan) menundukkan pasukan Malaysia dengan jaringan 5-0. Komen tulus ikhlas jurulatih Malaysia, Sathianathan... 'saya bersedia berundur'. Dia kata pemain-pemain begitu komited tetapi tidak dapat mempamerkan permainan lebih baik berbanding UAE. Penonton yang hadir seramai 5,000 orang di Stadium Cheras, Kuala Lumpur tidak mampu menaikkan semangat pemain-pemain. Kalau nak komen pasal kualiti permainan pemain Malaysia ni, rasanya ramai yang dah hari-hari bercakap. Ada yang merajuk pun tak nak pergi stadium.

Mungkin ada beberapa cadangan yang boleh difikirkan sesuai untuk pasukan Malaysia ni:-
  1. Galakkan artis-artis perempuan Malaysia turut sama menyaksikan perlawanan dan tempatkan di bangku pemain tepi padang.
  2. Tubuhkan pasukan 'pom-pom girls' kat tepi padang seperti American Football.
  3. Berikan gelaran Dato' kepada semua pemain sekiranya berjaya membawa pasukan Malaysia layak ke Piala Dunia.
  4. Pilih pemain menggunakan format rancangan realiti seperti Akademi Fantasia atau Gangstarz.
  5. Pemain terbaik perlawanan diberi kontrak gambar muka depan majalah hiburan.
  6. Pemain yang rajin dan komited berlatih diberikan kupon diskaun pusat-pusat hiburan.
  7. Dandanan rambut percuma yang ditaja oleh salon-salon untuk setiap perlawanan.
  8. Berikan penyapu kepada pemain paling teruk dalam perlawanan.
  9. Sediakan asrama pemain di dalam stadium agar boleh berlatih bila-bila masa.
  10. Lain-lain kaedah yang dirasakan munasabah.

Bagi menambah rekod kejuaraan Malaysia di peringkat antarabangsa, mungkin untuk Pestabola Merdeka tahun 2009 ini, pasukan-pasukan berikut dijemput menyertai:-
  1. PAPITA (Penampilan khas artis-artis bagi meramaikan stadium)
  2. Kampung Cubadak (Geng 3 Calit Club)
  3. Kampung Pening Lalat (Ahmad Albab FC)
  4. Akademi Bolasepak PNSB (Jambu FC)
  5. Kampung Semerah Padi (Team Taruna)
  6. Kampung Pinang Sebatang (Alip Tendang Waw FC)
  7. Kampung Tualang Tiga (Si Bongkok Oil Man FC)
Ini pun kalau tak menang juga, stadium-stadium yang ada ni kita tukarlah jadi padang rakyat sukan-sukan awal sejarah Malaya dan kita gunakan peruntukan yang ada meng'internasional'kan sukan-sukan rakyat:-
  1. Konda kandi
  2. Galah panjang
  3. Baling selipar
  4. Chopping bola tenis
  5. Gundu tembak getah
  6. Tepuk daun terup
  7. Guli
  8. Batu seremban
  9. Congkak
  10. Teng teng
  11. Aci sorok
Saya berpandangan, permainan di atas bukan sahaja memerlukan pelaburan yang rendah malah menaikkan nama Malaysia di persada dunia. Tidak perlu beli pusat sukan di England, tak perlu berlatih di Perancis, tak perlu hantar jurulatih kursus di Jepun dan tidak perlu juga pegawai-pegawai Tadbir & Diplomatik berhimpun ramai-ramai dalam pertubuhan sukan. Kita boleh pilih Penghulu atau Ketua Kampung jadi 'Chip Kadam'. Budak-budak kompang pun boleh jadi AJK dan budak-budak silat gayung boleh jadi jurulatih.

Rugi meniaga kalau asyik kalah macam ni... hangin.
Read more

Wednesday, January 21, 2009

Kedai Kopi Politik En. Ahmad - PRK Kuala Terengganu

Takbirrrrrr.

Itulah sms yang saya terima dari beberapa rakan penyokong PAS dan beberapa rakan 'atas pagar' serta ramai dari rakan-rakan yang 'non-partisan'. Rakan-rakan UMNO saya seperti 'merajuk' dan menjauhkan diri. Pening layan kawan-kawan terutama apabila ada isu-isu hangat sedang 'dialunkan' oleh media nasional yang kata, 'kami adalah media bebas'.

Berikut adalah beberapa fakta pilihanraya yang agak menggetarkan saraf jari saya:-
  1. Terdapat sebanyak 1,125 undi pos. Walaupun BN kalah secara total tetapi mendapat sebanyak 1,039 undi pos, lebih kurang 92.36% dari jumlah undi pos. Tetapi pada hari pengundian, BN hanya mendapat 47.27% iaitu 30,252 dari 63,993 pengundi yang keluar pada hari itu. Untung meniaga ada 'fixed deposit' macam ni.
  2. Keesokkan harinya, hampir semua media utama negara menyiarkan berita sensasi muka depan tetapi tidaklah berapa nak tunjuk tentang keputusan PRK. Gambar tentang pengeboman di Gaza terpampang besar sedangkan dalam tempoh berkempen sebelumnya, hari-hari keluar cerita Kuala Terengganu. Hanya akhbar Sinar Harian yang sudi menyiarkan tulisan besar ' KT milik PAS'.
  3. Pengerusi SPR kali ini juga merupakan bekas ahli Lembaga Pengarah PNSB.
  4. Media kata sokongan pengundi bangsa Cina menurun tetapi Presiden MCA, Ong Tee Kiat kata sokongan meningkat berbanding pilihanraya dulu.
  5. Ada kalangan rakan-rakan wartawan komen jentera BN lambat menjalankan aktiviti kempen perang saraf dan mengedarkan risalah. Takkanlah pulak sebab BN paling awal mengumumkan calon dan hari-hari buat promosi tentang calon BN di media.
  6. Rakan-rakan dari PAS kata masih ada pengundi hantu. Mana boleh, tak ada siapa pun yang buat aduan rasmi.
  7. PAS kata polis halang kempen parti. Betul ke? Bukankah Menteri KDN berkali-kali kata polis menjaga keamanan. Yang bertanding pun timbalan menteri, kena la jaga.
  8. Daripada 36 tempat mengundi, BN dikatakan hanya menang 13 tempat mengundi iaitu 36.11%. Tapi undi pos dapat 92%, nampak pelik pulak pola pengundian undi pos ni.
Tidak boleh tidak, BN masih lagi menjadi tajuk penting kerana telah memerintah negara selama lebih 50 tahun, Namun perkembangan politik dewasa ini mengundang persoalan, adakah BN tidak memahami pola pengundi sekarang atau pengundi sebenarnya semakin tidak memahami dan menjauhi BN. Berbagai-bagai kalimah telah diutarakan, 'post-mortem', 'peribadi calon', 'jentera pilihanraya lemah', 'faktor pengundi muda' dan berbagai lagi. Sesekali 'camera phone' yang ada tu, ambillah gambar sendiri. Takkan nak simpan gambar anak dara je.

Bagi golongan kebanyakan di Malaysia seperti saya ini (kalau di Eropah saya adalah penting kerana status 'Pengundi'), saya cukup matang dan waras untuk mempertimbangkan erti sombong, angkuh, tulus, jujur dan pembohong. Seorang pemandu teksi yang pernah saya temui pernah berkata... 'berita sokkabor yang abang percaya... tu haa... berita sokan dengan nombor ekor tu je'. Sekiranya ahli-ahli politik ada masa, selain membelek jam dengan kasut, bacalah buku karangan Al Gore... The Assault On Reason. Itupun kalau mereka kenal Al Gore, bukan jenama jam seperti Patek atau Rolex.

Mungkin pengamatan akal saya tidaklah sehebat penganalisis politik, tetapi sejarah peradaban manusia telah membuktikan apabila pemerintah boleh memanipulasi kehakiman, kepolisan, pentadbiran dan undang-undang, tidak dapat tidak, pasti penyelewangan dan salahguna kuasa akan berlaku kerana corak pemerintahan seumpama itu bisa mencipta kelompok yang merasakan mereka adalah 'golongan elit di atas undang-undang'. Bukan sedikit penduduk Malaysia yang menjawat jawatan awam dan bukan semuanya 'bergembira' dengan gelagat meloyakan sebahagian pemimpin dan 'orang kuat' pemimpin. Sedikit sebanyak tentu ada 'soalan bocor', tidak gitu Kementerian Pendidikan?

Ustaz-ustaz beritahu saya, halal adalah di sebelah sudut dan haram berada di sudut lain. Umpama air tawar dan air masin yang tidak akan dapat bersatu, umpama siang yang tidak pernah dapat mengejar malam... amat jelas perbezaannya. Perkara yang di tengah-tengah selalunya diklasifikasikan sebagai... was-was, ragu-ragu, cacamerba, bercelaru, berkecamuk... wajib dijauhi. Yang di tengah-tengah ni selalunya dikatakan kerja syaitan, umpama apabila bukan muhrim berdua-duaan di tempat sunyi, maka di tengah-tengahnya... Red Devil (jangan marah Manchester United). Taktik politik menerjah akal fikiran rakyat agar keliru dan celaru, bukanlah satu pendekatan jangkapanjang sahsiah politik yang baik. Memanipulasikan fikiran rakyat dengan cara ini, memainkan fikiran mereka, adalah kerja-kerja pemimpin yang gemar bermain ilusi, sama seperti David Copperfield. Mereka kerap dan secara berterusan memanipulasikan fikiran rakyat agar terus memilih mereka sebagai Yang Berhormat sedangkan apa yang mereka hajatkan hanyalah untuk mengekalkan 'lifestyle' elit mereka, agar mereka tidak menjadi orang kebanyakan... ye la, siapalah nak pandang mereka kalau mereka tidak berharta dan berkedudukan. Mereka mengilusikan diri mereka sebagai pejuang bangsa dan pembela rakyat, kalau tidak dipilih mereka maka akan hancurlah ketuanan bangsa. Hapusnya mereka maka hapuslah bangsa maka dikeluarkannyalah merpati dari topi dan berteriak... 'inilah bangsa kita'. Tepuk tangan dan semua orang akan gembira. Tidaklah juga saya tuduh mana-mana pemimpin macam Red Devil, sungguh tidak.

Mungkin pemimpin seperti itu tidak ramai sebenarnya dan kita harap pun begitulah. Kesian sungguh kepada rakan-rakan yang ikhlas berjuang, turut menerima 'kebencian' rakyat. Janganlah dimarah rakyat, apalah daya mereka yang lemah itu, setakat dapat menyuarakan pendirian mereka sekali setiap 5 tahun. Nak mengadu dengan YB pun, susah nak dapat 'appointment'.

Akhir kata, kalau tak dapat pemimpin cemerlang dalam ekonomi seperti Che Det pun tak apa la., mungkin harapan itu akan kekal dalam mimpi. Dan mungkin juga mengharapkan seorang pemimpin umpama 100 orang paling berpengaruh dalam sejarah seperti yang ditulis oleh Michael H. Hart, tidak akan juga muncul dalam masa terdekat. Dapat seorang 'Yang Berkhidmat' seperti Hamid Gurkha seperti dalam cerita 'Aku Yang Berhormat' pun jadilah.
Read more

Monday, January 12, 2009

Perhimpunan Selamatkan Palestin





Tempat: Stadium Malawati Shah Alam
Tarikh: 10hb Januari 2009

Kasih sayang sebilangan rakyat Malaysia terhadap saudara seagama di Palestin masih tetap utuh dan ianya direalisasikan sekali lagi di perhimpunan aman yang telah diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam. Hampir 5,000 orang memenuhi ruang stadium dalam suasana yang agak beremosi, sedih, marah dan menaruh harapan agar Palestin kembali aman. Mungkin wajah anak-anak kecil ini belum mengenal erti perjuangan dan kemerdekaan namun keprihatinan ibubapa mereka amat dibanggakan dan dihargai. Kesemua yang hadir setia menunggu sehingga program selesai dan di luar stadium, beberapa anak muda mengambil peluang 'membaling kasut' ke papantanda yang memaparkan wajah Presiden Amerika, Bush.

Semoga acara-acara seperti ini dapat dihadiri oleh lebih ramai golongan masyarakat, sebagaimana ramainya orang yang menghadiri konsert Akademi Fantasia yang pernah diadakan juga di stadium ini.

Kehadiran tidaklah diwajibkan dan tiada juga perlu membeli tiket untuk masuk ke stadium. Penganjur pun tidak merancang untuk menghantar kita ke medan perang, cuma sekadar sedikit masa dipinta untuk memberikan sokongan moral.



Read more

Friday, January 9, 2009

Appeal From MERCY Malaysia

MERCY Malaysia appeals to the public to donate to the PALESTINE RELIEF FUND

palestine-banner-anim

MERCY Malaysia has initiated an emergency response assessment team on the 30th December 2008 to Egypt in response to the humanitarian crisis resulting from the Israeli attacks on the Gaza Strip, which has killed more than 300 people and wounded more than 1,500 people.

The team, aimed at conducting a rapid assessment of the humanitarian needs, will be led by MERCY Malaysia President Datuk Dr. Jemilah Mahmood and EXCO Member Norazam Ab Samah.

We appeal to concerned Malaysians to send in cash donations.

MERCY Malaysia's basis of assistance to the beneficiaries relies on the support and generosity of individuals such as you to contribute to the PALESTINE RELIEF FUND.

It will support our efforts to procure emergency surgical kits, additional medicine and hospital equipment which will be channeled to the affected communities in Gaza.

PALESTINE RELIEF FUND

Cheque payable to MERCY MALAYSIA
CIMB Account No : 1424-000-6561053

For more information please contact 03-2273 3999 or email us at info@mercy.org.myThis e-mail address is being protected from spam bots, you need JavaScript enabled to view it .

Kepada rakan-rakan sekalian, diharap dapat sudi membantu.
Read more

Logo Syarikat Selepas Krisis Kewangan Dunia









www.businesspundit.com

Selepas krisis kewangan yang melanda dunia, berkemungkinan beberapa syarikat besar terpaksa menukar logo mereka. Bagaimana pula di Malaysia.

Mungkin selepas ini, semua tanda harga jualan akan disertakan tag baru seperti di bawah.



Read more

Thursday, January 8, 2009

Mari Boikot Coca Cola


Malaysian Muslims plan boycott of American goods

By EILEEN NG, Associated Press Writer AP - Wednesday, January 7

More than 2,000 Muslim restaurants in Malaysia will remove Coca-Cola from their menus as part of a boycott of American products in protest against Israel's bombardment of Gaza, officials said Wednesday. In addition to Coca-Cola, he said they have identified some 100 other products ranging from food to beauty and clothing such as Starbucks, Colgate, McDonald's and Maybelline. Since the Israeli offensive began, nearly 600 Palestinians, about half of them civilians, have been killed and at least 2,500 people injured, according to U.N. and Palestinian officials. Eleven Israelis have also been killed.

Mungkin pada sebilangan rakyat Malaysia akan memperkecilkan usaha ini dan menganggap ianya tidak memberikan apa-apa kesan kepada Amerika dan Israel tetapi setiap gerakan yang besar itu bermula dari satu gerakan yang kecil.

Rasanya tidak perlu terlalu banyak fikir, kita buat dulu. Bukannya orang suruh kita terjun sungai pun.
Read more

Lagi Statistik Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu



Sumber: prkkualaterenggnu.blogspot.com

Ini adalah info ringkas tentang pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang disahkan sehingga kini dan tentunya tidak termasuk 'pengundi hantu' yang kerap didakwa oleh pihak-pihak yang bertanding dalam mana-mana pilihanraya. Dengar cerita, ramai warga Terengganu yang bekerja di Lembah Klang akan bercuti 2-3 hari lebih awal bagi 'memeriahkan suasana' pilihanraya nanti.

Janganlah sehingga ada yang membakar kereta atau bendera, baik di pihak-pihak yang bertanding atau 'mana-mana hantu' yang lebih gemar membuat provokasi untuk dijadikan bahan berita murahan. Harap-harap berkesempatan ke sana sebelum hari pilihanraya untuk mengambil gambar.

Selamat berkempen.
Read more

'Sistem Kapitalis Membawa Kegagalan' kata Nor Mohamed

KUALA LUMPUR, Jan 7 (Bernama) -- The Anglo-Saxon capitalist system driven by the Western countries has failed, causing chaos in the global economy as it is based on greed, Second Finance Minister Tan Sri Nor Mohamed Yakcop said today. He said the system which encouraged speculations also saw the creation of many complex funds and financial products that resulted in multiple loans being given out.


"If the Islamic banking system had made an impact earlier, then it may have been possible to avoid the economic disorder as the system will not bring such problems," he said in the Dialog@1 programme over TV1.


According to Nor Mohamed, the capitalist system was already beginning to deteriorate since the 1980s as too much freedom was given to the private sector and governments not having a direct role in the economy. He said the capitalist system, championed by the United States and the United Kingdom, has been followed by other developed countries.


"The system places too much faith on the private sector with governments not interfering. We have seen many speculations occurring in the system since the 1997/1998 period in which the prices of commodities rose very high and crude oil prices touched a new record of US$140 per barrel compared to US$80 previously," Nor Mohamed said.


"This was due to the speculations arising from greed could not be curbed," he said.

Kerajaan pun sudah menerangkan sistem kapitalis tidak membawa kesejahteraan menyeluruh kepada sistem ekonomi dunia dan perbankan Islam adalah alternatif terbaik menggantikan sistem tersebut.

Mungkin sekarang adalah masa yang terbaik, kerajaan memikirkan barangan kepentingan awam seperti air, elektrik dan barang makanan tidak dibiarkan ditentukan oleh beberapa orang Ketua Eksekutif dan eksekutif kanan.

Mungkin sekarang juga adalah masa yang terbaik, semua pihak duduk semeja tanpa memakai baju berlogo parti masing-masing, membincangkan penggunaan hukum hudud dengan hati yang terbuka.

Mungkin sekarang juga adalah masa yang terbaik membincangkan betapa rasuah dan salahguna kuasa itu benar-benar akan menghancurkan bangsa Melayu pada masa hadapan.

Mungkin sekarang juga adalah masa yang terbaik untuk meletakkan seseorang memegang jawatan dan tugas berdasarkan kebolehan dan pengalamannya, bukan berdasarkan menjaga kepentingan kuota dan undi untuk pemilihan parti kelak.

Atau mungkin... kita lebih rela bangsa Melayu diperbodohkan, dianggap bodoh dan berkekalan bodohnya demi kepentingan beberapa orang yang mendakwa sebagai 'pemimpin dan ikon' bangsa Melayu.

Mungkin pada masa hadapan itu, barulah pemimpin kita membuat ceramah ke seluruh negara bahawa perlunya bangsa Melayu itu wujud.... mungkin... mungkin pada masa itu, bangsa Melayu telah runtuh.
Read more

Wednesday, January 7, 2009

Harga Minyak Nak Turun Lagi?


Dengar khabar harga minyak petrol nak turun lagi minggu depan, betul ke? Harga baru promosi sempena pilihanraya kecil Kuala Terengganu.
Read more

Statistik Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu


Berdasarkan keputusan pilihanraya ke 12 yang lalu, BN hanya memenangi di N14 - Bandar sahaja melalui wakilnya dari MCA. BN mungkin menghadapi saingan yang sengit pada pilihanraya kecil kali ini. Jumlah pengundi yang layak mengundi pada masa itu adalah seramai 80,325 orang dan kadar peratus yang keluar mengundi adalah 82.31%.

Pecahan pengundi pada pilihanraya kecil kali ini adalah:-

Jumlah pengundi layak - 80,229 orang
Pengundi biasa - 79,194 orang
Pengundi pos - 1,035 orang

Berdasarkan lumrah pilihanraya, BN mempunyai kelebihan pengundi kerana seperti kebiasaan, pengundi pos adalah 'dedicated swing voters' yang bakal menambahkan kiraan pengundian BN, itulah yang sering didakwa oleh pihak lawan.

Nampaknya kedua-dua pihak harus bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan yang bakal diterjemahkan sebagai kelangsungan kepercayaan rakyat kepada parti masing-masing. Bagaimana caranya, saya percaya mereka yang sering terbabit sebagai 'gurkha-gurkha' pelobi kempen lebih memahami 'apa yang perlu dilakukan'.

Selamat berkempen
Read more

Musim sekolah bermula...


Copyright Photo - Razak Latif on Flickr

Musim persekolahan telah bermula lagi dan ibubapa pening kepala seperti biasa tiap-tiap tahun. Ada yang ambil cuti, ada yang hilang selera makan, ada yang ambil panadol hari-hari dan ramai yang bersilat tiap-tiap pagi. Gara-gara... musim sekolah telah bermula.

Rungutan paling utama... duit. Kurang lebih perbelanjaan sekolah adalah seperti berikut:-

1. Pakaian seragam - 2 pasang
2. Kasut - 2 pasang
3. Beg sekolah
4. Buku tulis
5. Elaun harian sekolah
6. Yuran
7. Tambang bas
8. Pakaian dan kasut untuk kor-kurikulum

Baru tahu rupanya susah ibubapa kita dulu nak sekolahkan kita. Kita tuntut macam-macam... kasut Warrior, beg sekolah kulit, kasut bola adidas La Plata (walaupun yang dapat Gold Cup)... sekarang tahan la, sehelai sepinggang... bawak bungkusan lagi.

Cadangan penjimatan:-
  • Berhenti merokok.
  • Jangan 'betting' team mana menang dalam EPL kerana ianya menggalakkan anda untuk lebih kuat merokok.
  • Jangan sarapan di kantin sampai RM5 sehari.
  • Naik motor.
  • Buat tabungan bulanan, bukan pinjaman bank rakyat.
  • Pakai telefon bmbit murah yang tidak ada camera dan GPS.
  • Pakai kasut kerja ehsan sempena Perbarisan Kemerdekaan dengan cermat sehingga perbarisan kemerdekaan yang akan datang.
  • Beli baju kerja semasa 'mega sales' - beli satu percuma satu.
  • Bawa makanan dari rumah.
  • Tumpang kereta kawan.
  • Jangan sms kawan semata-mata hendak beritahu 'team' mana kalah EPL.
  • Belilah barangan tempatan.

p/s: Jangan minta Presiden Kelab Sukan & Kebajikan PNSB buat peruntukan.
Read more

Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu


Inilah calon-calon YB Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu yang telah disahkan pencalonannya. Kempen pilihanraya juga telah bermula secara rasmi walaupun kempen secara tertutup telah dijalankan selepas kematian YB terdahulu.

Sekali lagi Terengganu menjadi berita utama media selepas isu perlantikan Menteri Besar Terengganu, penganjuran Piala Monsun dan pembelian kereta untuk Menteri Besar serta exco-exconya.

Apa pula bahan berita yang akan dihidangkan oleh media dan pihak-pihak yang bertanding kali ini. Isu ketuanan Melayu? Isu royalti? Isu rasuah? Isu tanah? Isu perkampungan hadhari? Isu hudud?

Atau mungkin seperti biasa, kita akan dihidangkan dengan berita-berita seperti cerita Si Luncai terjun dengan labunya berlagukan Cak Ci Lot At At.

Selamat berkempen kepada semua... mari kita lihat siapa yang kena.

Read more

Dimanakah Palestine Di Peta Dunia


Di mana agaknya Palestine di peta dunia 10 tahun akan datang? Tanahnya diambil, rakyatnya dibunuh dan kebebasan mereka disekat pada tahap maksima. Kita di Malaysia masih lagi berdebat dan berkira-kira memboikot produk Amerika dan sekutu-sekutu Israel. Ada yang setuju, ada yang tidak dan ada yang kata apa pun yang dibuat tidak akan memberi kesan signifikan kepada mereka. Selama lebih kurang 50 tahun, tanah Palestine dirampas sedikit demi sedikit namun kita di sini hendak memulakan rancangan boikot walau sehari pun, masih bertelagah.



Apabila pihak keselamatan membuat 'road-block' di Malaysia, hampir semua pihak mengadu kerana jalan 'jem'. Agaknya kalau 'checkpoints' dibuat di Malaysia untuk setiap 10km jalanraya, rasanya orang baling kasut ke muka Ketua Polis Negara. Jangan samakan Malaysia dengan negara lain, kita pentingkan ekonomi. Betul agaknya, siapa pulak nak suapkan nasi percuma ke mulut kita kan kalau asyik 'jem' jalan sampai ekonomi pun terbantut.

Sekali lagi, kita kena berkira juga kalau nak boikot barang mereka.
Read more

Volkswagen Diambilalih




AFP - Wednesday, January 7

FRANKFURT (AFP) - - German luxury sportscar maker Porsche has taken over Volkswagen, the biggest European car manufacturer, after purchasing more than 50 percent of VW shares, Porsche said.

Kalau VW beli saham Proton dulu, macam mana agaknya rekabentuk kereta Proton sekarang?

Read more

Sime Darby Batal Rancangan Ambilalih IJN Malaysia


Hari ini Sime Darby membatalkan hasrat mengambilalih IJN dan salah satu alasannya ialah setelah mengambilkira pandangan rakyat. 'Ini bukan pengambilalihan sebuah syarikat perniagaan, sebaliknya merupakan perkongsian. Kami hanya mahukan 51% – Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid [Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby]'. Chua Soi Lek pula berkata:- 'Kalau diperhatikan projek-projek yang diswastakan, bayarannya akan terus meningkat'.

Rasanya pengurusan Sime Darby terdiri dari ramai professional yang berkaliber sehingga mampu memberikan komitmen bahawa bayaran yang dikenakan kepada pesakit tidak akan meningkat. Apa kata kalau Sime Darby buat kajian untuk ambilalih syarikat-syarikat atau entiti-entiti kerajaan lain yang lebih bermasalah dan gunakan kepakaran perniagaan mereka untuk membuat keuntungan dari aktiviti tersebut. Tentu pengurusan Sime Darby tidak sanggup melihat 'Financial Statement' tahunan mereka memaparkan peratusan tertinggi keuntungan 'Consolidated Account' adalah dari bayaran orang sakit jantung. Bayangkanlah senarai menunggu untuk mendapatkan rawatan jantung di IJN adalah ramai dan tempoh menunggu adalah berbulan-bulan lamanya, banyak jangkaan pendapatan tu.


Apa salahnya sekali-sekali tu, dengarlah nasihat mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir. Bukannya dia suruh terjun sungai pun.
Read more

Tuesday, January 6, 2009

Dewan Undangan Negeri Selangor Bersidang


Bagi sesiapa yang tidak berpeluang menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri, gambar ini adalah suasana semasa dewan tersebut bersidang. Saya sendiri telah menghadiri persidangan dewan sejak zaman pemerintahan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad B. Muhammad Taib. Gambar ini adalah persidangan terakhir untuk tahun 2008 di mana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sedang memberikan hujah halatuju Kerajaan Negeri Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Ternyata 'suasana persidangan' sejak Kerajaan Selangor diambilalih oleh Pakatan Rakyat agak berbeza berbanding sebelum ini. Suasana adalah lebih 'segar dan matang'.

Berbagai reaksi yang kelihatan... ada yang gembira, ada yang diam, ada yang marah... dan tidak kurang juga... ada yang 'panas punggung'. Seperti kata orang tua-tua... andaikata tiada kesalahan dibuat, tiada apa yang perlu dirisaukan.


Read more

It's Mahathir Again


The world community should boycott the US currency and American-made products to pressure the United States to stop supporting Israel’s attacks on Palestine, said Tun Dr Mahathir Mohamad. He said while governments might be “scared stiff” to support the move, the people could play their part to “save Palestine”. (From The Star Online - 6/1/09)

Che Det pun dah bersuara, beberapa NGOs pun telah menyatakan bantahan dan Kerajaan Malaysia pun telah memberikan peruntukan bantuan kewangan. Manakala sebahagian lagi rakyat Malaysia masih mempertimbangkan samada hendak memboikot atau tidak produk-produk seperti Maggi, Nestle, Nokia dan berbagai barangan lain yang telah menjadi identiti serta keperluan seharian mereka. Mungkin ada pihak yang dapat memberikan barangan alternatif secara spesifisik sebagai panduan kepada pengguna-pengguna di Malaysia.

Mungkin ahli-ahli politik boleh mulakan dengan menjual kesemua barangan mewah kebanggaan mereka yang tertera 'Made in USA' atau 'Made in UK'. Ada berani?
Read more

'Tulang Belakang' Akademi Bolasepak PNSB


Wajah Kesayangan Hamba - Lagu Hail Amir. Inilah wajah-wajah yang merupakan tonggak Akademi Bolasepak PNSB. Mungkin ada beberapa individu lagi yang tidak sempat saya potretkan di sini yang juga merupakan 'orang kuat' akademi. Liga ini mungkin tidak sehebat Liga Premier England namun terdapat satu persamaan... kita mendidik dan melahirkan ramai pemain berpotensi untuk masa hadapan.

Majulah sukan untuk negara.
Read more

Piala Tan Sri Mustapha Kamal


PNSB menang lagi!! Pasukan Bawah 20-tahun Akademi Bolasepak PNSB yang diasaskan oleh kakitangan PNSB, rakan-rakan dan keluarga pemain-pemain telah berjaya memenangi piala tersebut. Menyaksikan kemenangan adalah sesuatu membanggakan apabila terbabit secara langsung di dalam pembangunan pasukan bolasepak remaja ini. Saya sendiri kagum dengan kesungguhan semua yang terbabit di mana rata-rata berbekalkan semangat dan minat.

Ini adalah pertama kali saya menyaksikan sendiri perlawanan akhir, berada di tepi padang dengan kamera dan menyaksikan para jurulatih memberikan 'kata-kata semangat' di bilik persalinan setelah separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan.

Dan ini kata-kata saya kepada mereka... untung berniaga kalau dapat team macam ni.

Syabas dan tahniah kepada semua

Ahmad Zaimi Ibrahim
Naib Presiden Kelab Bolasepak PNSB
Read more
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...